Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia dijangka menarik lebih banyak pelaburan strategik dalam bidang keselamatan siber menerusi penganjuran Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025, platform serantau yang bukan sahaja menampilkan inovasi terkini, malah memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam inisiatif keselamatan siber ASEAN.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata CYDES 2025 berlangsung ketika Malaysia memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN sekali gus meletakkan negara pada kedudukan strategik untuk memacu kerjasama serantau dalam memerangi ancaman siber.
“CYDES kali ini amat berbeza daripada edisi terdahulu kerana ia bukan lagi bersifat lokal semata-mata. Ia menjadi pemangkin kepada agenda keselamatan serantau dan global, seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan peneraju Majlis Tindakan Keselamatan Rangkaian ASEAN (ANSAC),” katanya kepada Bernama.
CYDES 2025 yang dianjurkan oleh MKN, Jabatan Perdana Menteri bersama-sama NACSA dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd akan berlangsung mulai 1 hingga 3 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Antara sorotan utama penganjuran kali ini adalah sesi kementerian pada hari ketiga bertajuk “Ensuring a Safer Digital Malaysia: Strengthening Online Safety Policies and Public Awareness” yang akan melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Sesi berkenaan dijangka membincangkan pendekatan holistik kerajaan dalam memperkukuh dasar keselamatan digital dan kesedaran awam.
Selain itu, majlis menandatangani memorandum persefahaman turut dijadualkan antara NACSA dan enam institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memperkukuh kolaborasi penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang keselamatan siber.
Universiti yang bakal terlibat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Management and Science University dan University College TATI.
Subforum Astaka China yang akan berlangsung pada 2 Julai turut menjadi antara tumpuan utama, dengan enam pembentangan teknikal daripada syarikat gergasi termasuk Qi An Xin dan NexCore, selain sesi meja bulat antara wakil kerajaan dan industri.
Forum ini dilihat penting dalam memperkukuh kerjasama keselamatan siber serantau selaras dengan kepentingan strategik Malaysia.
CYDES 2025 juga akan menghimpunkan lebih 70 delegasi antarabangsa daripada 20 negara serta lima organisasi antarabangsa, mencerminkan pengiktirafan global terhadap peranan Malaysia dalam membentuk landskap keselamatan siber yang lebih selamat, kolaboratif dan tangkas.
Platform Serantau, Peluang Pelaburan Baharu
CYDES 2025 mencatat penyertaan memberangsangkan melibatkan lebih 200 syarikat daripada 25 negara berbanding kurang daripada 100 penyertaan pada 2023 termasuk dari China, Kanada, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).
Daripada jumlah itu, 57.1 peratus adalah syarikat antarabangsa manakala 42.9 peratus syarikat tempatan, dengan 92.94 peratus daripadanya merupakan penyertaan baharu, mencerminkan daya tarikan CYDES sebagai platform utama dalam ekosistem keselamatan siber serantau.
Antara syarikat terkemuka yang mengesahkan penyertaan adalah AAT, BlackBerry, CelcomDigi, China Silk Road, CrowdStrike, Fortinet, Google Cloud Security, KPMG, Palo Alto Networks, TM One, U Mobile dan Velum Labs, sekali gus memperkukuh profil penganjuran pada tahun ini.
Edisi tahun ini disasarkan menarik kehadiran lebih 8,000 pengunjung perdagangan dan profesional berbanding 5,000 pengunjung pada 2023, termasuk kalangan pegawai kerajaan, organisasi korporat, anggota tentera, polis, penguatkuasa undang-undang, ahli akademik, intelektual, pakar keselamatan siber serta profesional daripada sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Delegasi yang dijangka hadir antaranya daripada Polis ASEAN (ASEANAPOL), International Telecommunication Union (ITU), Swiss Cyber Institute, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Polis Antarabangsa (INTERPOL) serta pengunjung dari China, AS, Jepun, Rusia, Kanada, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Australia, Brazil, Pakistan dan negara-negara ASEAN.
“Kita juga mahu lebih banyak syarikat tempatan diketengahkan. Banyak yang mempunyai produk hebat tetapi kekurangan dari segi pembiayaan. Oleh itu, CYDES akan menjadi pentas untuk kita padankan mereka dengan agensi kerajaan, pelabur serta rakan industri,” kata Megat Zuhairy.
Beliau turut menyatakan sektor kriptografi sebagai contoh bidang berimpak tinggi, apabila pusat teknologi dan pengurusan kriptologi di bawah NACSA berjaya menarik minat antarabangsa terhadap pakar Malaysia dalam bidang kriptografi pasca-kuantum.
Menurut laporan Bank Negara Malaysia, serangan siber terhadap sektor kewangan meningkat hampir 100 peratus antara tempoh 2020 dan 2022, menjadikan keselamatan digital satu keperluan ekonomi yang mendesak.
“Bakat kita diiktiraf di peringkat dunia. Algoritma keselamatan yang mereka bangunkan kini berpotensi dikomersialkan secara global,” katanya.
ASEAN Terajui Strategi Keselamatan Siber Bersama Malaysia
Selaras dengan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045, Malaysia kini memimpin pembangunan Strategi Kerjasama Siber ASEAN 2026-2030, yang dijangka dimuktamadkan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.
“Strategi ini akan menjadi kerangka utama bagaimana ASEAN melihat keselamatan siber sebagai tanggungjawab kolektif serantau. Malaysia melalui NACSA, menerajuinya dan ini memperkukuh kedudukan negara sebagai pemimpin dalam kerjasama serantau,” katanya.
Menurut kajian Google, Temasek dan Bain & Company, ekonomi digital ASEAN pada tahun ini dijangka mencapai nilai US$295 bilion sekali gus menjadikan keselamatan siber sebagai antara tonggak utama dalam memastikan pertumbuhan digital rantau ini kekal mampan dan berdaya saing.
Pelancaran Strategi Keselamatan Siber Negara 2025-2030
CYDES 2025 juga akan menyaksikan pelancaran Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berbeza daripada strategi sebelumnya, MCSS 2025-2030 menekankan tanggungjawab bersama antara kerajaan, industri dan komuniti.
“Keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab kerajaan. Sektor perniagaan dan komuniti juga perlu memainkan peranan penting. Pendekatan ini lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Mengulas mengenai potensi pelaburan asing, Megat Zuhairy berkata tumpuan bukanlah semata-mata kepada pelaburan langsung asing tetapi cara pelaburan itu dapat membangunkan industri tempatan melalui pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan model perniagaan yang lestari.
“Kita sediakan ekosistem daripada penyediaan biasiswa, kursus peningkatan kemahiran, sehingga kepada kerjasama penyelidikan dan pembangunan dengan universiti. Malah, kita libatkan wanita yang ingin kembali bekerja dalam sektor teknologi,” katanya.
CYDES 2025 juga akan menjadi medan penting untuk membina kepercayaan pelabur terhadap ekosistem keselamatan digital Malaysia, sejajar dengan aspirasi menjadikan ekonomi digital menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun ini.
“Apabila pelabur melihat Malaysia mempunyai infrastruktur, bakat dan dasar kerajaan yang jelas, ia menjadikan Malaysia lokasi strategik untuk mereka berkembang, khususnya dalam pasaran ASEAN,” katanya.
Komitmen Awam, Pendidikan Siber
Antara aktiviti istimewa yang diadakan sempena CYDES 2025 adalah pertandingan ASEAN My Cyber Hero, yang menyaksikan penyertaan seramai 13,590 pelajar daripada seluruh Malaysia, termasuk 4,530 pasukan sekolah rendah dan menengah.
Program berkenaan mencerminkan peningkatan minat generasi muda terhadap bidang keselamatan siber, seiring usaha kerajaan untuk memupuk kesedaran dan literasi digital daripada peringkat awal.
“Kita mahu membina kesedaran daripada peringkat akar umbi. Daripada sekolah rendah sehingga sektor perniagaan, keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Mengikut laporan Cybersecurity Ventures, kos kerugian akibat jenayah siber global dijangka mencecah US$10.5 trilion pada 2025, menjadikan aspek pencegahan serta kerjasama antarabangsa semakin kritikal dalam menangani ancaman siber merentas sempadan.
“Ancaman siber tidak mengenal sempadan. CYDES 2025 adalah platform untuk negara-negara membina ketahanan bersama,” katanya sambil menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai peserta atau pelawat menerusi laman sesawang rasmi www.cydes.my.
-- BERNAMA