EKONOMI

KWAP MUKTAMADKAN 12 RAKAN KONGSI AM DI BAWAH PERUNTUKAN DANA PEMACU BERJUMLAH RM6 BILION

30/06/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini mengumumkan 12 rakan kongsi am (GP) disenarai pendek dengan peruntukan berjumlah RM6 bilion merentas dana konvensional dan patuh Shariah di bawah inisiatif Dana Pemacu.

KWAP dalam satu kenyataan berkata dana itu akan disalurkan kepada tiga kelas aset utama iaitu ekuiti persendirian, infrastruktur dan hartanah, menyasarkan sektor ekonomi utama termasuk keselamatan makanan, pendidikan, ‘silver economy’ dan penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital,  keterangkuman kewangan dan keutamaan kritikal lain di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.

'Silver economy' bermaksud segmen ekonomi berkaitan populasi dewasa lanjut usia atau penuaan, kebiasaannya berumur 50 tahun dan ke atas tetapi tidak terbatas pada perkhidmatan kesihatan, perumahan, pelancongan atau rekreasi.

Menurut KWAP, Dana Pemacu dilancarkan pada Mei 2024, memainkan peranan penting dalam memajukan transformasi ekonomi Malaysia dengan menggunakan strategik pelaburan pelbagai dan berdaya maju secara komersial untuk meningkatkan nilai dan impak pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

“Dengan mengguna pakai model rakan kongsi am bersama (Co-GP), menggandingkan pengurus pelaburan global dengan bakat tempatan, Dana Pemacu memperkukuh ekosistem pasaran swasta Malaysia, memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan kapasiti domestik dan membawa kepakaran global ke pasaran tempatan serta memupuk daya tahan ekonomi merentas sektor utama,” kata KWAP.

Bagi ekuiti persendirian, Investcorp, Navis Capital Partners, Nexus Point dan The Vistria Group ialah GP terpilih dan bagi infrastruktur, mandat diperuntukkan kepada Pengurus Dana Iklim, DigitalBridge, I Squared Capital dan Seraya Partners.

“Di bawah mandat hartanah, GP ialah Castleforge Partners Limited, Lendlease Investment Management Pte Ltd, Savills Investment Management dan TrustCapital Advisors Investment Management Pte Ltd.

“Sebagai sebahagian daripada model Co-GP di bawah Dana Pemacu, semua GP global juga telah memuktamadkan pemilihan rakan kongsi tempatan menurut proses penilaian menyeluruh mereka dan kini sedang menjalani kelulusan kawal selia yang diperlukan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata KWAP menerima minat positif daripada GP global sejak pelancaran Dana Pemacu dengan lebih 40 penyertaan diperoleh untuk pertimbangan.

“Berikutan proses penilaian dan usaha wajar dengan teliti, KWAP telah menyenarai pendek 12 GP global ini yang akan menyumbang secara bermakna kepada ekosistem pasaran swasta Malaysia.

“KWAP mengiktiraf kekuatan GP global terpilih kerana mereka telah membuktikan rekod prestasi dan pengalaman dalam menguruskan pelaburan dan memacu prestasi,” katanya.

Seiring dengan objektif KWAP untuk menyokong ekonomi domestik, majoriti jumlah pelaburan KWAP di bawah Dana Pemacu akan digunakan di Malaysia dan peluang-peluang tersedia dalam patuh Shariah.

Peluang-peluang tersedia dalam patuh Shariah merujuk kepada aktiviti kewangan, pelaburan atau usaha niaga yang berpegang kepada prinsip perundangan Islam (Shariah).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan