AM

KDEBWM SERAH 28 UNIT ASET LOGISTIK, TINGKAT PERKHIDMATAN KUTIPAN SISA DOMESTIK MPKL

30/06/2025 04:17 PM

KUALA LANGAT, 30 Jun (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini menyerahkan 28 unit aset logistik kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa domestik di 23 zon perkhidmatan di bawah agensi itu di daerah berkenaan.

Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahirn berkata aset-aset yang diserahkan sempena pembaharuan kontrak kerjasama antara KDEBWM dengan MPKL sehingga Julai 2032 itu meliputi 25 unit lori kompaktor (19 tan), dua unit mini kompaktor (7.5 tan) dan sebuah Roll On Roll Off (RoRo) yang akan digunakan bagi kutipan sampah di Pasar Banting.

Beliau berkata pemilikan aset-aset baharu itu akan membantu MPKL meningkatkan kecekapan kutipan sampah dan mengurangkan gangguan operasi sedia ada selaras dengan agenda kelestarian yang dilaksanakan KDEBWM.

“Penyerahan dan pelancaran aset-aset ini juga menandakan kesinambungan hubungan strategik antara KDEBWM dengan MPKL yang terjalin sejak 2018, dan akan diteruskan sehingga tahun 2032.

“Ia juga membuktikan keyakinan MPKL terhadap kredibiliti dan keupayaan KDEBWM dalam menyediakan perkhidmatan awam yang cekap, sistematik dan berimpak tinggi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata KDEBWM juga sedang menerapkan teknologi pintar seperti sistem pemantauan berasaskan internet kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi menjimatkan kos selain memastikan pemantauan operasi dapat dilaksanakan secara holistik.

Dalam aspek pembangunan modal insan pula, beliau berkata pihaknya kini giat memperluaskan program latihan teknikal dan pensijilan profesional bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja tempatan yang mahir dalam sektor pengurusan sisa. 

“Pada masa sama, penglibatan komuniti akan terus diperkasa menerusi program kitar semula, literasi sisa dan kempen kesedaran awam bersama MPKL,” katanya.

Terdahulu, Ramli diiringi Yang Dipertua MPKL Mohd Hasry Nor Mohd menyempurnakan pelancaran lori kompaktor dan imej baharu KDEBWM di pekarangan ibu pejabat majlis perbandaran berkenaan hari ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan