KUALA LANGAT, 30 Jun (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) mengesan lima lokasi seluas dua hingga empat hektar yang dijadikan tapak pembuangan sampah haram di beberapa lokasi di Kuala Langat.
Pengarah Urusannya Datuk Ramli Mohd Tahir berkata daerah itu menjadi tumpuan pembuangan sampah haram berskala besar berikutan lokasinya yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Tanjung Dua Belas.
"Antara lokasi yang sudah dikenal pasti ialah Johan Setia, Sijangkang, Bukit Changgang, Telok Panglima Garang, Tanjung Dua Belas serta kawasan tanah lot berhampiran laut.
"Perbuatan ini disyaki dilakukan pihak luar termasuk kilang. Kesemua tender pengurusan sisa di daerah ini dikendalikan oleh KDEBWM, dan kita sentiasa pantau jadual serta pergerakan setiap lori agar membuang sampah di tempat yang betul," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di sini hari ini.
Ramli berkata KDEWM dengan kerjasama MPKL telah menjalankan usaha membanteras gejala berkenaan termasuk kutipan sampah industri komersial dan institusi sejak tiga tahun lepas, namun ia masih lagi berlaku.
Dalam hal itu, Ramli berkata sambungan kontrak antara KDEBWM dengan MPKL hingga Julai 2032 akan dijadikan batu loncatan bagi kedua-dua pihak berganding bahu merancang pendekatan baharu untuk menangani masalah pembuangan sampah haram di daerah Kuala Langat.
"Sebagai langkah awal, hari ini KDEBWM melancarkan 25 unit lori sampah (kompaktor) bersaiz 19 tan, dua mini kompaktor bersaiz 7.5 tan dan satu lori arm roll dilengkapi tong roll on roll off (RoRo) dengan peruntukan berjumlah RM12 juta untuk kutipan sampah di seluruh daerah ini.
"Pengurusan sampah haram berada di luar bidang KDEBWM tetapi sekiranya ada permintaan daripada Pejabat Tanah dan Daerah, saya tidak ada masalah untuk menggerakkan aset yang ada untuk membersihkan kawasan terbabit bersama-sama dengan bantuan MPKL," katanya.
Terdahulu, Ramli dengan diiringi Yang Dipertua MPKL Datuk Amirul Azizan Abd Rahim melancarkan lori kompaktor dan imej baharu KDEBWM di pekarangan ibu pejabat MPKL.
-- BERNAMA