AM

POTENSI CERAH FILEM TAMIL TEMPATAN DITERAJUI GENERASI BAHARU - FINAS

01/07/2025 11:44 AM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pengarah filem muda yang beralih daripada platform digital ke layar perak kini menjadi antara pemacu utama peningkatan kualiti filem Tamil tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Beliau berkata keupayaan generasi baharu pengkarya dalam menyampaikan cerita yang segar dan berkualiti tinggi membuktikan bahawa industri filem tempatan sedang berkembang secara positif.

“Filem saya tonton baru-baru ini, iaitu Mirugasirisham memang ada kualiti … . Jadi, mereka ini yang daripada sosial media yang buat kandungan untuk YouTube dan sebagainya, sekarang dia terbitkan filem dan hasilnya amat berkualiti,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Azmir turut kagum terhadap kekuatan penceritaan, pengarahan dan lakonan filem berkenaan walaupun ia dihasilkan oleh tenaga baharu industri.

“Saya sendiri pun terkejut dengan arahan dan lakonan pendatang baharu itu. Memang, kalau saya nak menguar-uarkan filem tempatan, kualitinya sama dengan filem Tamil dari India.

“Masalahnya, filem ini tidak dipromosikan secara meluas. Kebanyakan penonton kita masih berfikiran bahawa menonton filem tempatan di pawagam satu kerugian. Mereka sepatutnya hadir ke tayangan dan beri sokongan, kerana kualiti produksi filem tempatan kita kini memang setanding.” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata FINAS bersikap terbuka dan inklusif dalam menyokong pembangunan filem tempatan tanpa mengira bahasa atau genre.

“Sebenarnya untuk inisiatif, kita memang tiada pengkhususan dari segi bahasa dan genre. Cuma kita sentiasa ada sesi bersama industri, supaya pengeluar filem Tamil memahami isu dan trend terkini,” katanya. 

Peningkatan kualiti dan sambutan terhadap filem Tamil tempatan turut dapat dilihat menerusi kejayaan C4 Cinta yang mencatat kutipan pecah panggung melebihi RM2.5 juta pada tahun lepas, iaitu dua kali ganda berbanding filem Tamil sebelumnya.

Azmir berkata produksi di sebalik filem Jagat juga bakal tampil dengan dua lagi karya pada tahun ini, antara filem berunsur festival yang berkualiti. 

Sementara itu, penerbit filem Mirugasirisham merangkap Pengurus Besar Five Star Trading Dr Sai Suthan Krishnan berkata walaupun menerima ulasan sangat positif daripada pengkritik dan penonton pelbagai lapisan masyarakat, filem Tamil tempatan ini mencatat kutipan pawagam yang mengecewakan.

“Sebenarnya, ada ramai bakat muda di Malaysia yang menunggu peluang untuk mengetengahkan kemahiran mereka dalam bidang perfileman, serta menghasilan cerita yang mencerminkan budaya dan akar umbi rakyat Malaysia.

“Kami ada sebuah skrip yang baik hasil karya Vijay Ganesh, dan pasukan muda yang hebat daripada Sage Heroes. Kami juga mengumpulkan barisan pelakon dan kru yang sehati sejiwa dan berdedikasi. Maka, terhasil Mirugasirisham selepas dua tahun menjalani proses penggambaran,” katanya.

Dr Sai berkata filem berkenaan menerima sambutan yang sangat baik dan penonton memuji penceritaan serta aspek teknikalnya.

“Setiap rakyat Malaysia, sama ada masyarakat India mahupun penonton daripada kaum lain memuji  kekuatan penceritaan dan elemen teknikalnya. Dua jam tiga puluh minit yang sangat berbaloi dihabiskan di pawagam, menikmati bunyi dan visual yang berkualiti.”

“Namun, penerbit dan pembikin filem memerlukan sokongan daripada kutipan pawagam untuk memberi semangat kepada bakal penerbit lain supaya lebih berani mengambil risiko dan melabur untuk artis serta pembikin filem melahirkan karya berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan