BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

MCMC, LLM KENAL PASTI HAMPIR 50KM JAJARAN TANPA LIPUTAN TELEKOMUNIKASI – FAHMI

01/07/2025 01:25 PM

GEORGE TOWN, 1 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengenal pasti hampir 50 kilometer jajaran lebuh raya yang tidak mempunyai liputan telekomunikasi langsung.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dasar 'Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet' akan dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah capaian internet, termasuk di lebuh raya seluruh negara.

“Ada beberapa lokasi utama sedang dikenal pasti, dan perbincangan sedang dijalankan. Harapan saya, lokasi-lokasi ini dapat dimasukkan dalam fasa kedua Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), memandangkan kebanyakan kawasan tersebut berkemungkinan memerlukan pembinaan menara telekomunikasi.

“Jadi, Insya-Allah, kita akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Menara (MOCN) 4G Enam Hala YES Tanjung Asam, sempena Program Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet di Tanjung Asam, Bayan Lepas, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi menyasarkan untuk melaksanakan bukti konsep (Proof of Concept, POC) teknologi direct-to-cell menggunakan satelit orbit rendah bumi (Low Earth Orbit – LEO) pada suku ketiga atau keempat tahun ini di beberapa lokasi terpilih.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut belum dapat dimulakan pada masa ini berikutan kekangan teknikal, namun pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat yang mengendalikan teknologi LEO untuk menyelesaikan isu kesalinghubungan di kawasan terpencil, termasuk perairan negara.

Fahmi, yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang, berkata teknologi direct-to-cell akan memanfaatkan satelit sebagai menara pemancar dari angkasa lepas.

“Kita lihat, sekurang-kurangnya jika berlaku kecemasan seperti kes lemas di pesisir pantai, individu terbabit boleh terus menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan segera,” katanya.

“Pembinaan menara telekomunikasi setinggi 60 meter memerlukan pertimbangan tersendiri, dan di kawasan seperti pulau‑pulau, ia mungkin tidak sesuai. Oleh itu, teknologi direct‑to‑cell boleh menjadi penyelesaian alternatif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan