EKONOMI

UNIT YINSON TERBIT BON PROJEK US$1.168 BILION UNTUK PEMBIAYAAN SEMULA KAPAL FPSO

01/07/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Yinson Production, berjaya menerbitkan bon projek bernilai US$1.168 bilion (US$1 = RM4.20) untuk pembiayaan semula kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Maria Quitéria.

Yinson Production merupakan syarikat infrastruktur dan teknologi tenaga global yang aktif dalam bidang tenaga luar pesisir.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yinson Production berkata bon itu diterbitkan oleh anak syarikatnya, Yinson Bergenia Production BV, pemilik FPSO berkenaan yang beroperasi di bawah kontrak pajakan dan operasi selama 22.5 tahun dengan Petrobras di medan Jubarte, luar pesisir Brazil.

"Bon itu dilunaskan sepenuhnya dengan tempoh matang akhir selama 19.6 tahun dan kadar kupon tetap sebanyak 8.498 peratus yang dibayar setiap setengah tahun.

“Hasil daripada urus niaga ini akan digunakan untuk membiayai semula hutang tertunggak sedia ada yang berkaitan dengan FPSO, membiayai akaun rizab seperti yang dikehendaki di bawah terbitan bon baharu (melainkan dibiayai melalui surat kredit), membayar yuran dan perbelanjaan berkaitan urus niaga dan untuk pengagihan kepada Yinson Production selaku pemegang saham penerbit,” katanya.

Ia berkata penyelesaian bon itu dijangka pada 7 Julai, 2025 dan seterusnya akan disenaraikan di Pasaran Sekuriti Antarabangsa Bursa Saham London.

Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production Markus Wenker berkata ini merupakan bon projek FPSO terbesar dan bertempoh paling lama yang pernah diterbitkan.

"Dengan terbitan bon ini, kami mengukuhkan lagi struktur modal Yinson Production dan mencipta nilai jangka panjang, sambil menawarkan kepada pemegang nota hutang pendedahan kepada aset berkualiti tinggi dengan perlindungan kukuh terhadap risiko serta struktur gred pelaburan yang tidak terhad," katanya.

Agensi penarafan kredit Moody’s dan Fitch masing-masing menetapkan penarafan kredit nota hutang Ba1 dan BB+, mencerminkan asas kredit FPSO yang kukuh dan kepentingan strategiknya kepada Petrobras.

Citigroup dan JP Morgan bertindak sebagai penyelaras global untuk terbitan itu, manakala HSBC, ING, Santander dan Standard Chartered Bank berperanan sebagai penyelaras bersama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan