AM

KEBAKARAN DI KG BAGAN PASIR LAUT: KERAJAAN BANTU BINA SEMULA RUMAH TERJEJAS - TPM

01/07/2025 06:48 PM

BAGAN DATUK, 1 Julai (Bernama) --  Kerajaan akan menyalurkan bantuan sewajarnya bagi membolehkan mangsa kebakaran di Kampung Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang di sini Sabtu lepas, membina semula kediaman mereka yang musnah. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata 21 ketua isi rumah (KIR) dan beberapa pemilik premis rumah kedai dikenal pasti layak menerima bantuan tersebut selepas bancian dibuat. 

"Peruntukan yang sedia ada kira-kira RM86,000 bagi satu unit rumah. 

"Hari ini, jabatan, agensi, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan persatuan telah memberikan sumbangan RM10,000 bagi satu keluarga, selain persatuan agama Buddha di sini juga menyerahkan bantuan RM100,000 untuk tambahan kepada semua mangsa," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran di sini hari ini. 

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM3,000 kepada setiap KIR terjejas. 

Sabtu lepas 21 rumah, beberapa premis rumah kedai dan sebuah tokong di Kampung Bagan Pasir Laut,  musnah dalam kebakaran pada kira-kira 4 pagi. 

Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui agensi berkaitan juga akan menyelaraskan bagi pengeluaran geran kepada semua KIR terlibat bagi membolehkan mereka membina semula rumah di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) itu. 

Beliau berkata Kampung Bagan Pasir Laut adalah sebuah perkampungan nelayan berusia kira-kira 140 tahun yang mempunyai 149 rumah dan sejumlah premis perniagaan. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata bagi tokong yang terjejas, seorang individu telah memberikan persetujuan memberikan sumbangan bagi membina semula rumah ibadat berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan