AM

DASAR LEBIH BERFOKUS PERLU DIGUBAL BAGI PERKUKUH KETERJAMINAN MAKANAN - AFPN

01/07/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Dasar yang lebih berfokus dan responsif untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara perlu digubal, susulan kebimbangan terhadap kenaikan harga makanan serta pergantungan tinggi kepada rantaian bekalan global.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Produktiviti Nexus Agro-Makanan (AFPN) memaklumkan pergantungan Malaysia kepada import makanan ketika ini masih tinggi termasuk dalam industri penternakan ayam.

“Contohnya tahap sara diri (SSL) ayam turun kepada 90.2 peratus pada 2023 berbanding 100.2 peratus pada 2021, menunjukkan peningkatan kebergantungan kepada sumber luar.

“Walaupun ayam diternak dalam negara, kadar kebergantungan import bahan makanan ternakan kekal tinggi menjadikan sektor ini rentan terhadap kejutan global dan turun naik kadar tukaran,” menurut AFPN dalam kenyataan dikeluarkan MPC hari ini.

AFPN memaklumkan walaupun Malaysia mencatat peningkatan dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, prestasi petunjuk sektor agromakanan seperti kemampuan harga, produktiviti dan inovasi masih perlahan serta kurang memberangsangkan.

Menurut kenyataan itu, pembaharuan dasar yang proaktif dan kontekstual diperlukan antara lain dengan memudahkan kemasukan petani baharu, menyokong pengembangan petani sedia ada melalui akses tanah lebih mudah, penstrukturan semula proses kelulusan, pengurangan kerenah birokrasi dan mempercepat penerimagunaan teknologi digital dalam sektor agromakanan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail dalam kenyataan itu berkata negara perlu menyingkirkan halangan sistemik, membuka ruang kepada inovasi dan mencipta ekosistem yang membolehkan petani berkembang serta menyumbang secara bermakna kepada produktiviti negara.

“Sekuriti makanan bukan hanya soal bekalan tetapi berkait rapat dengan daya tahan dan keupayaan bersaing jangka panjang. Penerimagunaan digital adalah pemacu utama kepada produktiviti agromakanan tetapi ketersambungan mesti diutamakan dahulu,” katanya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 17 Jun lepas memaklumkan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam WCR 2025 ke kedudukan ke-23, yang merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan