KOTA KINABALU, 1 Julai (Bernama) -- Penduduk di lima perkampungan air di Pulau Gaya, kira-kira 10 minit perjalanan menaiki bot dari Kota Kinabalu kini terlibat dalam projek pelancongan berasaskan komuniti bagi menjadikan kediaman mereka sebagai tarikan pelancong.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata usaha itu adalah inisiatif sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Meraki Daat Initiative.
Beliau memuji usaha organisasi itu kerana melibatkan penduduk Pulau Gaya secara aktif dalam usaha mentransformasikan kawasan tempat tinggal mereka menjadi tarikan pelancongan berasaskan komuniti yang berpotensi.
Joniston berkata Meraki Daat Initiative yang diketuai Presidennya Michelle De La Harpe telah memberikan taklimat kepada beliau semalam mengenai perkembangan projek yang sedang dijalankan di Pulau Gaya, yang bertujuan menghidupkan semula perkampungan air dan menjadikannya lokasi pelancongan yang menarik perhatian di media sosial seperti Instagram.
Beliau turut dimaklumkan perkampungan itu kini sedang berusaha untuk membuat pendaftaran rasmi bagi membentuk satu entiti dikenali sebagai Pelancongan Berasaskan Komuniti Pulau Gaya.
“Ini adalah satu langkah positif ke hadapan. Pulau Gaya adalah sebuah penempatan unik dengan kisahnya yang tersendiri.
“Membangunkan pelancongan berasaskan komuniti di pulau ini akan memberi nilai tambah kepada penduduk kampung, terutama kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pusat bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kepentingan untuk mewujudkan persekitaran pelancongan yang lebih bersih, selamat dan lestari, dengan penglibatan serta pemilikan komuniti setempat menjadi kunci kejayaan usaha ini.
Sementara itu, Michelle berkata matlamat Meraki Daat Initiative termasuk mengubah ruang awam menjadi tarikan pelancongan yang meriah dan dimiliki oleh komuniti, di samping menggabungkan pembangunan belia, seni dan kelestarian alam sekitar dalam projek berkenaan.
-- BERNAMA