KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerjasama itu juga meliputi usaha menangani cabaran komunikasi era digital secara berkesan.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan perkara itu selepas menerima kunjungan hormat Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Bernama melaporkan Mohd Khalid berkata PDRM komited untuk memperkukuh kerjasama sedia ada dengan Kementerian Komunikasi dalam menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks pada era digital.
Menurutnya fokus utama kerjasama melibatkan usaha membendung penyebaran berita palsu serta kandungan yang menyalahi undang-undang, bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
-- BERNAMA