EKONOMI

MALAYSIA KEKAL KOMITED TERHADAP PRINSIP PERDAGANGAN BEBAS DAN TERBUKA - PM ANWAR

02/07/2025 10:53 PM

Daripada D.Arul Rajoo

ROM, 2 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal komited terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa merupakan asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan.

Anwar berkata, perkara itu disampaikan ketika beliau dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali, Antonio Tajani mempengerusikan Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali, di sini, hari ini.

Sesi  itu menghimpunkan lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara, merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi dan pertubuhan industri.

"Sesi (meja bulat) ini mencerminkan iltizam bersama untuk memperkukuh hubungan dagang dan membuka ruang pelaburan strategik yang lebih luas antara Malaysia dan Itali" kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, sesi tersebut turut memperkukuh keyakinan pemain industri Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus serta daya saing ekonomi Malaysia. 

Anwar berkata penyertaan aktif syarikat terkemuka dari kedua-dua negara itu menyerlahkan potensi kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama.

“Ia membuka prospek luas dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi, bidang utama yang menjadi tonggak kepada agenda reformasi ekonomi negara,” kata beliau.

Anwar berada di sini sempena lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan