BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 EKONOMI

MALAYSIA SAMBUT BAIK PELABURAN DARIPADA LEONARDO, FINCANTIERI DAN ENI - PM ANWAR

03/07/2025 10:13 PM

Daripada D.Arul Rajoo

ROM, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia menyambut baik pelaburan daripada syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo SpA, Fincantieri SpA dan ENI SpA di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat dari negara ini dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berpaksikan kepakaran dan pemindahan teknologi.

Menurut beliau, hasrat itu disampaikan kepada rakan sejawatnya, Giorgia Meloni pada mesyuarat dua hala di sini hari ini.

“Pertemuan bermakna bersama Perdana Menteri Meloni telah membuka ruang kepada perbincangan yang produktif dan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari dan pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan,” kata Anwar pada sidang media pada akhir lawatan beliau ke Itali.

Leonardo mempunyai kepakaran dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan, Fincantieri ialah syarikat pembinaan kapal dan ENI merupakan syarikat tenaga multinasional.

Anwar berkata beliau telah menjemput Meloni melawat Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.

“Saya mengundang beliau melawat Malaysia sewaktu ASEAN dan menyaksikan (pemeteraian) perjanjian antara Petronas dan ENI,” kata beliau.

Usaha sama ENI, Petronas dan Euglena dalam Pengerang Biorefinery Sdn Bhd (PBSB) akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran bahan api lestari di rantau ini. 

Menurut beliau, syarikat minyak dan gas Indonesia, Pertamina juga telah menyatakan minat untuk menyertai projek usaha sama itu.

Kilang penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor ini akan menghasilkan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), Minyak Sayuran Hidrogenasi (HVO), Bio-Naphtha dan Bio-LPG.

 Projek bernilai RM6 bilion ini bukan sahaja menyokong aspirasi tenaga hijau negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), malah akan mewujudkan peluang pekerjaan berteknologi tinggi dan pemindahan kepakaran.

Anwar berkata beliau bertukar pandangan dengan Meloni berhubung isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati.

Beliau berkata kunjungan ini memperteguh tekad bersama untuk memperluas kerjasama strategik yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kedua-dua negara, berpaksikan semangat persahabatan yang tulus dan saling mempercayai.

“Sebagai pengerusi ASEAN, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Malaysia amat menghargai keterbukaan, kesungguhan dan komitmen Itali sebagai rakan kongsi penting selain yakin hubungan erat ini akan terus berkembang demi kemajuan, kesejahteraan dan masa depan bersama yang lebih cerah.

Anwar yang tiba di sini pada Selasa membuat kunjungan sulung ke Itali atas jemputan Meloni. 

Perdana Menteri yang kini dalam rangka lawatan ke tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Brazil akan berlepas ke Paris selepas ini dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron semasa lawatan dua hari ke sana.

Seterusnya, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro atas jemputan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan