KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali Antonio Tajani hari ini mempengerusikan sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang disertai lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara.
Sesi yang berlangsung di Rom, Itali itu melibatkan penyertaan syarikat daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, perdagangan, serta agensi dan pertubuhan industri.
Anwar menerusi hantaran di platform X beliau berkata sesi meja bulat tersebut mencerminkan iltizam bersama dalam memperkukuh hubungan dagang serta memperluas peluang pelaburan strategik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata Malaysia kekal komited terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa menjadi asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan,” kata beliau.
Menurut Anwar, sesi tersebut turut memperkukuh keyakinan pemain industri Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus serta daya saing ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri berkata penyertaan aktif syarikat terkemuka dari kedua-dua negara menyerlahkan potensi besar dalam memperluas kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama.
“Ia membuka prospek luas dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi, bidang utama yang menjadi tonggak kepada agenda reformasi ekonomi negara,” kata beliau.
-- BERNAMA