KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya di sebuah rumah, tahun lepas.
Azman Hasim, 61, didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berumur 12 tahun empat bulan di sebuah rumah di Taman Seraya di sini, pertengahan 2024.
Lelaki itu yang berniaga nasi lemak dituduh mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, teman wanita kepada Azman berusia 37 tahun yang juga ibu kandung kanak-kanak perempuan itu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat.
Wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana dikhuatiri akan mengganggu mangsa.
"Azman mempunyai hubungan dengan ibu kandung mangsa dan dikhuatiri ada gangguan. Pendakwaan juga tidak menawarkan jaminan terhadap ibu mangsa. Difahamkan, mangsa kini tinggal bersama ibu saudaranya," katanya.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah, tiada penjamin dan ahli keluarga mereka yang hadir pada prosiding hari ini.
Hakim Norshila Kamarudin kemudian menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
-- BERNAMA