JOHOR BAHRU, 4 Julai (Bernama) -- Doa dan kasih seorang ibu tiada penghujung. Itulah ungkapan yang tepat bagi menggambarkan momen ketika Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, hari ini berkenan berangkat menziarahi makam anakanda tercinta, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, di sini.
Ziarah itu sempena ulang tahun keputeraan Almarhum Tunku Abdul Jalil pada 5 Julai.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda tiba di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini pada 3 petang.
Beberapa keping gambar yang dimuat naik menunjukkan Raja Permaisuri Agong menyiram air mawar di atas pusara Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Bacaan Surah Yasin dan tahlil turut diadakan untuk Almarhum.
Almarhum Tunku Abdul Jalil, yang diputerakan pada 5 Julai 1990, merupakan putera keempat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.
Baginda mangkat pada 5 Dis 2015 akibat penyakit kanser ketika berusia 25 tahun, dan dikenang sebagai seorang yang berdedikasi serta disayangi rakyat, khususnya melalui sumbangan dalam bidang kesukarelawanan.
-- BERNAMA