AM

PM ANWAR BERTEMU PEGAWAI KANAN BANK NDB BERPANGKALAN DI SHANGHAI, TELITI KEANGGOTAAN

07/07/2025 01:01 AM

Oleh Arul Rajoo Durar Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia akan meneliti secara menyeluruh keanggotaan dalam Bank Pembangunan Baharu (NDB) dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk komitmen diperlukan serta keberkesanan penyertaan dalam institusi itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan NDB yang sebelum ini dikenali sebagai Bank Pembangunan BRICS, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bertemu dengan delegasi NDB berpangkalan di Shanghai yang diketuai oleh Presidennya Dilma Rousseff di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17.

“Sebagai sebuah bank pembangunan pelbagai hala ditubuhkan oleh negara-negara membangun, NDB menawarkan alternatif pembiayaan yang berdaya saing, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mempelbagaikan sumber pembangunan infrastruktur dan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri berkata pada pertemuan itu, beliau turut mengucapkan tahniah atas pemilihan semula Rousseff serta berkongsi keterbukaan Malaysia untuk meneroka potensi kerjasama bersama NDB dalam kerangka pembangunan mampan, pembiayaan infrastruktur dan pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan.

NDB adalah sebuah bank pembangunan multilateral atau pelbagai halal yang ditubuhkan oleh negara-negara anggota perkumpulan BRICS.

Blok itu pada masa ini dianggotai oleh 11 negara iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Algeria, Colombia dan Uzbekistan.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak ini adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta Pengerusi ASEAN 2025.

Malaysia telah secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini.

— BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan