JENAYAH & MAHKAMAH

PELAJAR TINGKATAN EMPAT MAUT, RAKAN CEDERA REMPUH PEMBAHAGI JALAN DI SHAH ALAM

05/07/2025 09:55 AM

SHAH ALAM, 5 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar tingkatan empat maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang mereka tunggangi hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Persiaran Sukan, Seksyen 13 di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9.45 malam ketika kedua-dua pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9  menunggang motosikal berhampiran Ramly Halal Mart di Seksyen 13, sebelum dipercayai hilang kawalan.

"Motosikal itu kemudian melanggar pembahagi jalan, menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya. Penunggang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pembonceng yang juga pelajar tingkatan empat pula cedera di bahagian leher dan kaki, dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Insp Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan