POLITIK

PRU: UMNO MULAKAN KAJIAN, FOKUS TAWAN SEMULA KERUSI DIMENANGI BERSATU DAN PAS - AHMAD ZAHID

05/07/2025 03:47 PM

BATU PAHAT, 5 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berhasrat merampas semula beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang kini dikuasai Bersatu dan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai kajian dan tinjauan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kerusi-kerusi berpotensi yang boleh dimenangi semula oleh BN, khususnya UMNO.

“Kita akan berusaha bersungguh-sungguh... kerusi itu akan kembali kepada calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya ketika merasmikan penutupan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Datuk Mohd Lassim Burhan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan ahli parti agar tidak terpengaruh dengan naratif ‘UMDAP’ yang dimainkan pembangkang, sambil menjelaskan bahawa kerjasama politik yang terbentuk kini adalah antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Yang berkawan ialah BN dan PH. Dalam BN ada MCA dan MIC, dalam PH ada DAP, PKR dan Amanah. Jadi, jangan terpedaya dengan propaganda pembangkang yang mahu memecahkan BN dan PH supaya mereka boleh ‘tebuk atap’ semula,” kata Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid berkata kerjasama politik yang terjalin ketika ini adalah realiti yang perlu difahami semua ahli demi memastikan kestabilan kerajaan terjamin dan UMNO dapat kembali menjadi parti dominan.

“Kalau kita mahu menang, tunjukkan kesungguhan. Kita dalam kerajaan, maka kita perlu kerja bersungguh-sungguh. Jangan mahu menang tapi kita tidur, bergaduh sesama sendiri, tikam belakang atau berdiam diri apabila diasak lawan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan