AM

KELUARGA NURLY SAHIRAH TERIMA BANTUAN RM7,500

06/07/2025 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak RM7,500 bantuan disalurkan kepada keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman, seorang daripada 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, bulan lepas.

Bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar semasa mengunjungi keluarga Allahyarham Nurly Sahirah di Kampung Gong Pasir, Kerandang, Jertih, semalam.

Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Mohd Na’im berkata sumbangan itu merangkumi RM5,000 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), RM1,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), RM1,100 daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) – Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dan RM400 daripada Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP).

"Saya turut menyampaikan Bakul makanan bernilai RM150 daripada Tabung Musa’adah JAKIM-YWM,” katanya.

Mohd Na’im turut mendoakan agar roh Allahyarham Nurly Sahirah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan menghadapi ujian tersebut.

Menurutnya, ayah Allahyarham merupakan pesara Pertubuhan Peladang, manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa.

Mohd Na’im menyifatkan jenazah Nurly Sahirah yang ditemukan dalam posisi memeluk erat mushaf Al-Quran sebagai gambaran sangat menyentuh hati serta bukti kecintaan mendalam arwah terhadap kalamullah.

Nurly Sahirah antara 15 penuntut yang maut dalam nahas membabitkan bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama UPSI di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi 9 Jun lepas itu turut menyebabkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas.Turut cedera ialah pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan