AM

USIA 74 TAHUN BUKAN HALANGAN PAK HABIB KEKAL AKTIF JADI GURU AEROBIK

06/07/2025 01:47 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Ketika ramai rakan seusianya memilih untuk berehat di rumah, Syed Abdul Rahman Syed Jaafar, 74, atau lebih mesra dipanggil Pak Habib, masih ligat menggerakkan tubuh mengajar senaman aerobik secara percuma di Taman Merdeka di sini, beberapa kali seminggu. 

Berbekalkan 2,000 koleksi lagu pelbagai genre, Pak Habib yang juga pakar motivasi kecergasan memilih untuk kekal aktif dan lincah mengajar pengikut setianya daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur pada Khamis hingga Ahad seawal 8 pagi.

Beliau yang memiliki Diploma Sains Sukan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata senaman yang diajarnya lebih bersifat ringan, berfokus kepada keseimbangan badan, kelancaran peredaran darah, kelenturan otot dan pernafasan yang sesuai untuk semua lapisan usia

"Senaman yang Pak Habib ajar ini diiringi dengan pelbagai jenis lagu merangkumi semua kaum macam silat, Tai Chi, yoga, dangdut dan zapin supaya orang tak jemu. Pada masa sama Pak Habib juga akan selitkan motviasi dan tip kecergasan," katanya ketika ditemui Bernama di sini. 

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai juruteknik di Telekom Malaysia dan pernah berkhidmat secara sukarela di Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Jabatan Belia dan Sukan, berkata penglibatannya dalam bidang tersebut bermula sekitar 1990-an apabila rakannya mencari guru aerobik lelaki.

“Dulu kalau cikgu aerobik mesti perempuan dan awalnya memang Pak Habib menolak. Setelah diyakinkan dan berbekalkan sedikit ilmu dalam sukan, Pak Habib terima untuk jadi guru aerobik dan hingga kini masih diterima dan diperlukan masyarakat meskipun dalam usia serta kudrat yang semakin terbatas,” katanya.

Walaupun ramai yang menasihatinya untuk duduk di rumah, beliau berpendapat usia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bersukan atau bersenam kerana keterbatasan pergerakan akibat faktor usia ia masih boleh disesuaikan mengikut kemampuan masing- masing.

"Cuma satu sahaja kelebihan yang Allah SWT pinjamkan ialah Pak Habib boleh bercakap, boleh bagi motivasi, buat kelakar dan ada 'sense of humour'  jadi bila kita gabung ilmu kita dengan kelebihan bercakap itu buatkan kelas kita meriah,” katanya. 

Sementara itu, pengikut setia kelas Pak Habib, Suhaila Abd Talib, 48, berkata sesi senaman aerobik Pak Habib menarik dan tidak membosankan.

"Saya dah ikut Pak Habib lebih 10 tahun sebab beliau bukan mengajar senaman sahaja tetapi sebelum mulakan kelas beliau bagi motivasi dan banyak tip kesihatan jadi kita dapat banyak ilmu,” kata ibu kepada dua orang anak itu. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan