EKONOMI

DAYONE DATA CENTERS OPTIMUMKAN PENGGUNAAN TENAGA, AIR, SOKONG MATLAMAT KEMAMPANAN NEGARA

06/07/2025 03:01 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) -- Perintis global dalam platform infrastruktur digital, DayOne Data Centers (DayOne) mengoptimumkan penggunaan tenaga dan airnya untuk menyokong matlamat kemampanan negara sambil mengekalkan operasi berprestasi tingginya. 

Pengurus Besar DayOne Data Centers Malaysia Sdn Bhd Jimmy Yan berkata meskipun pusat data sememangnya menggunakan sejumlah besar elektrik dan air untuk menghidupkan pelayan dan sistem kecerdasan buatan (AI), namun kecekapan kekal menjadi strategi utama syarikat itu.

"Jika anda bercakap tentang penggunaan harian, kita melihat beberapa juta liter (penggunaan) air setiap hari. Tetapi berbanding angka mutlak, kami mengukur kecekapan menggunakan penunjuk seperti Kecekapan Penggunaan Kuasa (PUE) dan Kecekapan Penggunaan Air (WUE).

“PUE dan WUE kami kekal pada tahap yang agak rendah, dan itu adalah tolok prestasi yang lebih baik,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menjelang 2030 kira-kira 60 peratus daripada jumlah kapasiti pusat data Malaysia dijangka bertempat di Johor, mengukuhkan peranannya sebagai hab digital bagi Asia Tenggara yang transformasinya akan disokong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Jimmy berkata beberapa kemudahan DayOne menggunakan teknologi penyejukan "air sifar" tanpa perlu pergantungan kepada air, walaupun sistem sedemikian memerlukan input tenaga yang lebih tinggi.

"Biasalah akan ada tukar gantinya. Jika anda tidak menggunakan air, anda kelaknya akan menggunakan lebih banyak tenaga. Jadi kami cuba mencapai keseimbangan dengan menggunakan teknologi paling cekap," katanya.

Menurutnya, syarikat itu juga menekankan kepada penggunaan tenaga hijau, termasuk pemasangan solar atas bumbung dan kerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd melalui inisiatif Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) untuk mendapatkan tenaga solar.

Perjanjian itu membolehkan DayOne memperoleh sehingga 500 megawatt tenaga boleh baharu dalam tempoh 21 tahun untuk menyokong operasi pusat datanya di Malaysia, menjadikan ia syarikat pertama yang melaksanakan kontrak bekalan tenaga dua hala di bawah rangka kerja CRESS nasional.

"Solar tidak mengurangkan penggunaan kuasa secara keseluruhan, tetapi ia menggantikan tenaga perang (tenaga yang dihasilkan daripada sumber pencemar) dengan tenaga hijau. Jadi kami menangani perkara ini dalam dua aspek, mengurangkan sisa menerusi kecekapan dan menggantikan sumber tradisional dengan tenaga boleh baharu," katanya.

Memandangkan sasaran Malaysia untuk menjadi hab digital serantau, DayOne percaya usaha membina infrastruktur secara bertanggungjawab adalah satu langkah yang penting.

"Kita tidak boleh ketinggalan. Infrastruktur digital adalah satu kemestian, dan kami memastikan ia berkembang selaras dengan kemampanan," katanya.

Beribu pejabat di Singapura, DayOne meletakkan wilayah SIJORI (Singapura–Johor–Riau) sebagai hab pusat data saling hubung yang kritikal.

DayOne telah memuktamadkan pembiayaan pelbagai mata wang bersamaan RM15 bilion, yang terdiri daripada kemudahan pembiayaan bertempoh Murabahah berjumlah RM7.5 bilion dan kemudahan pinjaman berjangka luar pesisir sebanyak US$1.7 bilion (US$1=4.22).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan