Oleh Muhammad Faiz Baharin and Voon Miaw Ping
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Ibu negara Malaysia akan menjadi pusat tumpuan diplomasi antarabangsa sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan mulai Selasa.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, acara penting dalam kalendar tahunan ASEAN, dianjurkan di bawah Kepengerusian Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Perhimpunan diplomasi yang dinanti-nantikan ini akan menyaksikan penyertaan terbesar menteri luar dan diplomat kanan dari seluruh dunia bagi membincangkan isu global dan serantau yang mendesak, mengukuhkan kerjasama serta memajukan agenda keselamatan dan kemampanan di ASEAN.
Lebih 40 menteri luar dan wakil dari organisasi antarabangsa dijadual menghadiri siri mesyuarat yang diterajui ASEAN dari 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Semua menteri luar negara anggota ASEAN akan hadir kecuali Myanmar yang hanya akan diwakili pegawai kanan Kementerian Luar, manakala Menteri Luar Timor-Leste akan mengambil bahagian sebagai pemerhati.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin pada sidang media Ahad mengesahkan bahawa semua rakan luar ASEAN akan menghadiri mesyuarat tersebut.
Beliau berkata kehadiran yang kukuh itu mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada negara lain terhadap peranan strategik ASEAN di pentas geopolitik global.
“Ini bukan lagi sekadar rutin. Walaupun terdapat banyak mesyuarat serantau dan antarabangsa dalam kalendar, penyertaan (dalam AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan) setakat ini amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita menjelang mesyuarat itu.
Sumber yang boleh dipercayai mengesahkan bahawa Menteri Luar China Wang Yi, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio antara yang akan menghadiri mesyuarat tersebut.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan akan bermula dengan Mesyuarat Suamuka Bersama Wakil-Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) disusuli Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Pada mesyuarat mengenai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), Malaysia dijangka mengumumkan penyertaan dua negara baharu, masing-masing dari benua Afrika dan Amerika Selatan, ke dalam perjanjian tersebut.
Sebanyak 24 mesyuarat di peringkat menteri luar ASEAN akan diadakan sepanjang acara empat hari itu.
Ini termasuk siri mesyuarat dua hala dengan rakan dialog luar ASEAN seperti Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan, United Kingdom dan AS.
Empat mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Sekretariat ASEAN dan rakan sektoralnya iaitu Brazil, Norway, Switzerland dan Turkiye turut akan diadakan.
Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) turut akan berlangsung.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan AMM ke-58 dan menyampaikan ucapan khas pada Rabu.
Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Persidangan Keempat Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) di sela-sela AMM ke-58.
CEAPAD IV yang akan dipengerusikan bersama oleh Malaysia, Jepun dan Palestin akan memberi tumpuan kepada program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin serta penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh dan berkesan.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN 2025 selepas menyandang jawatan Pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA