KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Situasi ekonomi global dijangka perlahan pada separuh kedua 2025 berikutan pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap rakan dagang menjejaskan pelbagai pemain ekonomi, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY).
Dalam satu nota penyelidikan, CGS MY berkata meskipun dalam situasi ini China dilihat paling teruk terkesan, sekutu AS yang lain, termasuk Kanada, Mexico dan Kesatuan Eropah (EU) turut merasai tempiasnya.
"Bagaimanapun, pengeluar AS yang bimbang berlakunya perang perdagangan baharu membuat persiapan awal dengan meningkatkan pembelian dan menambah stok simpanan.
"Langkah ini memberi manfaat kepada dagangan global terutamanya ekonomi yang berasaskan eksport seperti negara ASEAN, apabila penghantaran dan lebihan dagangan tumbuh dengan pesat," katanya.
CGS MY bagaimanapun berkata sokongan pembelian awal ini hampir di penghujungnya menjelang pelaksanaan tarif AS dan pengeluar AS kini semakin beralih ke pasaran domestik, menyebabkan permintaan global menjadi sederhana.
Sementara itu, CGS MY berkata negara ASEAN-4 iaitu Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, berkemungkinan kehilangan momentum pertumbuhan tanpa sokongan daripada permintaan awal AS.
Firma pelaburan itu menurunkan prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia 2025 kepada 4.8 peratus daripada 5.0 peratus, manakala pertumbuhan KDNK Singapura kekal pada 1.6 peratus.
"Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK Thailand pada 2.0 peratus untuk 2025, dalam persekitaran penggunaan yang suram, ketidaktentuan politik yang berterusan, penurunan kadar ketibaan pelancong serta risiko daripada tarif timbal balik yang dicadangkan Presiden AS, Donald Trump,” katanya.
Selain itu, disebabkan kehilangan pasaran AS, China mungkin memasarkan barangannya ke pasaran lain, dan ini memberi tekanan kepada produk ASEAN.
“Pada pandangan kami, perkembangan penting yang perlu diperhatikan ialah rundingan dua hala antara AS dan negara ASEAN berkaitan tarif timbal balik.
“Kami menjangka beberapa perjanjian akan dimeterai bagi mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan AS-ASEAN, yang bererti potensi penstrukturan semula rantaian bekalan pada masa depan,” katanya.
-- BERNAMA