JENAYAH & MAHKAMAH

PURATA 15 KES SELUDUP BAHAN RADIOAKTIF DIREKODKAN SETIAP TAHUN - ATOM MALAYSIA

07/07/2025 01:58 PM

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) merekodkan secara purata 15 kes penyeludupan bahan radioaktif setiap tahun dengan kebanyakannya dikesan berlaku di Pelabuhan Klang, Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah Atom Malaysia Monalija Kostor berkata penyeludupan masuk dan keluar bahan radioaktif seperti ‘Cobalt-60’ dan ‘Cesium-137’ itu berjaya dikesan menerusi ‘Radiation Portal Monitor’ (RPM) yang dipasang di pintu sempadan laut dan darat negara.

Beliau berkata taktik mengisytiharkan barang dagangan lain merupakan antara strategi yang dilakukan penyeludup bagi mengaburi pihak berkuasa. 

"Kebanyakan kes (penyeludupan) di Pelabuhan Klang, iaitu pelabuhan yang sangat aktif bagi import dan eksport, dengan beberapa kontena dikesan mengandungi bahan radioaktif.

"Penyeludup menggunakan pelbagai taktik, isytihar barang lain seperti tenusu, barang mainan dan tekstil tetapi sebenarnya ia mengandungi bahan tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025, di sini hari ini.

Monalija berkata bahan radioaktif yang dirampas akan dihantar pulang ke negara asal sekiranya diseludup masuk ke dalam negara.

"Sekiranya ia diseludup keluar dari negara kita, kerajaan akan rampas dan bawa ke mahkamah untuk membuat keputusan sama ada mahkamah akan putus lucut hak daripada pemiliknya.

"...jadi bahan radioaktif tersebut akan diambil kerajaan untuk diuruskan sebaiknya atau ia akan dipulangkan kepada pemilik setelah dikenakan denda," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kes penyeludupan tersebut dianggap serius dan perlu dikekang kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara amnya.

Beliau berkata bahan radioaktif lazimnya digunakan dalam industri seperti minyak dan gas, plastik serta elektronik, sekali gus menjelaskan aktiviti penyeludupan secara haram dipercayai berlaku bagi mengelakkan kos yang perlu ditanggung atau bagi mengaut keuntungan.

"Biasanya kalau dibawa secara haram adalah untuk mengelakkan kos (ditanggung syarikat) atau mereka tidak tahu ada undang-undang yang mengawal bahan radioaktif dalam negara tetapi kita tidak akan benarkan perkara itu berlaku," katanya.

Justeru, Monalija berkata Atom Malaysia sentiasa melakukan kawalan ketat bagi memastikan apa juga bahan radioaktif yang masuk dan keluar dari negara ini adalah dilakukan secara sah mengikut peruntukan akta sedia ada.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan