EKONOMI

PROSES PERMOHONAN PAS EKSPATRIAT DIPENDEKKAN KEPADA 10 HARI MENERUSI XPATS GATEWAY

08/07/2025 01:15 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Tempoh memproses kelulusan Pas Penggajian Ekspatriat (EP) yang sebelum ini mengambil masa 40 hari kini dipendekkan kepada 10 hari bekerja susulan penyepaduan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan MYFutureJobs ke dalam Xpats Gateway bermula 1 Julai.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata sebelum ini majikan perlu menggunakan beberapa platform berasingan untuk menggajikan ekspatriat namun kini mereka hanya perlu memohon melalui satu platform, iaitu Xpats Gateway sekali gus menjadikan proses lebih pantas dan cekap.

Beliau berkata dua keperluan utama bagi pengambilan ekspatriat telah disepadukan ke dalam Xpats Gateway, iaitu Seksyen 60K Akta Kerja 1955 melalui ePPAx oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta surat pengesahan MYFutureJobs yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Majikan kini hanya perlu menggunakan satu platform, menjadikan proses permohonan lebih pantas dan mudah. Pemohon juga boleh menjejak status permohonan mereka secara masa nyata. Semua data dan dokumen diperoleh terus daripada sistem rasmi, sekali gus mengurangkan risiko penipuan.

“Dalam tempoh seminggu sahaja, kira-kira 100 syarikat telah membuat permohonan melalui sistem baharu ini,” katanya semasa taklimat media mengenai penyepaduan MYFutureJobs dan ePPAx, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Thomas Mathew.

Dilancarkan pada Jun 2023, Xpats Gateway dibangunkan oleh TalentCorp sebagai platform tetingkap tunggal untuk menyelaras prosedur permohonan ekspatriat secara lebih efisien.

Platform ini menghubungkan 26 agensi pengawal selia dan pemberi kelulusan merentas pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan.

Sim berkata penyepaduan ini dijangka dapat mengurangkan kos kepada majikan sehingga 90 peratus dan berpotensi menjimatkan hampir RM500 juta kepada semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata terdapat kira-kira 100,000 permohonan untuk pekerja ekspatriat setiap tahun dan sistem baharu ini pasti akan memberi manfaat kepada majikan, pekerja, syarikat dan pelabur.

“Penambahbaikan ini juga menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD, daripada tempat ke-34 tahun lepas kepada tempat ke-23 tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan