KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Lebih RM2.2 juta subsidi masih tersedia di bawah program Pek Permulaan i-MULA 50 bagi pembeli insurans kali pertama, kata Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
Dalam satu kenyataan hari ini, LIAM menggesa golongan belia Malaysia dan pembeli insurans kali pertama untuk supaya segera memanfaatkan inisiatif i-MULA 50.
Ia berkata permohonan bagi subsidi terbuka sehingga 31 Dis, 2025 atau sehingga dana tersebut digunakan sepenuhnya.
“Setakat ini, lebih 56,000 rakyat Malaysia berjaya mendapatkan perlindungan insurans melalui program ini, melibatkan subsidi sebanyak RM2.8 juta daripada dana keseluruhan RM5 juta yang diperuntukkan bagi menggalakkan keterangkuman kewangan dan perlindungan risiko, terutamanya untuk golongan muda,” katanya.
Program Pek Permulaan i-MULA 50 yang dilancarkan Ogos tahun lepas sempena ulang tahun ke-50 LIAM menawarkan subsidi bernilai RM50 kepada pembeli kali pertama untuk membeli polisi insurans hayat asas.
“Program ini merangkumi 33 pelan perlindungan insurans mampu milik, yang menawarkan manfaat asas seperti perlindungan kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan serta elaun hospital,” katanya.
LIAM berkata premium tahunan bagi pelan-pelan ini adalah antara RM75 hingga RM600, dengan pembeli perlu membayar minimum RM25 untuk melayakkan diri menerima subsidi.
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata inisiatif ini merupakan langkah permulaan yang baik untuk golongan muda melindungi masa depan mereka.
“Dengan baki subsidi lebih RM2.2 juta, kami menggalakkan orang ramai yang layak supaya mengambil peluang ini sebelum tarikh akhir pada 31 Dis,” katanya sambil menambah bahawa program ini turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan insurans sebagai jaminan kewangan.
Maklumat lanjut mengenai Pek Permulaan i-MULA 50 dan senarai pelan insurans yang mengambil bahagian boleh didapati di laman web www.liam.org.my.
-- BERNAMA