KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan program latihan khas untuk pegawai tumpuan utama Kod Sukan Selamat di sini dalam usaha memperkukuh inisiatif mewujudkan persekitaran sukan yang selamat.
MSN dalam kenyataan memaklumkan program latihan selama dua hari yang disertai 92 pegawai daripada 57 persatuan sukan kebangsaan itu dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim hari ini.
Menurut kenyataan itu, program berkenaan bermatlamat menyiapkan pegawai tumpuan utama yang bertanggungjawab menjadi ejen kesedaran dan menerapkan elemen pendidikan sukan selamat kepada atlet-altet di pelbagai peringkat.
“Menerusi latihan ini, pengetahuan dan pemahaman pegawai-pegawai diperkasakan dalam aspek seperti mengenal pasti kesalahan dan risiko, tatacara pengelolaan aduan, pelaporan kes serta aktiviti meningkatkan kesedaran dan mendidik penggiat sukan terhadap persekitaran sukan yang selamat.
“Ia selari dengan Rangka Kerja Sukan Selamat ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menekankan tanggungjawab kolektif daripada akar umbi sukan sehinggalah ke peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
MSN memaklumkan pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan matlamat untuk terbentuknya jaringan yang cekap dan responsif dalam kalangan pegawai tumpuan utama supaya kesedaran terhadap sukan selamat meningkat dan insiden gangguan serta penderaan atlet berjaya dikurangkan dengan ketara.
-- BERNAMA