DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS, KUKUH DARIPADA MATA WANG UTAMA LAIN

07/07/2025 07:57 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, namun diniagakan kukuh berbanding mata wang utama, berikutan peniaga dan pelabur sedang memantau perkembangan tarif baharu AS, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang utama itu susut kepada 4.2310/2400 berbanding dolar AS 4.2180/2260 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan terbaharu Presiden AS Donald Trump berkaitan tarif tambahan 10 peratus ke atas negara yang bersekutu dengan BRICS menjadi tumpuan pasaran.

Pada Ahad (6 Julai), Presiden Trump dilaporkan berkata mana-mana negara yang menyokong dasar ‘anti-Amerika’ BRICS akan dikenakan tarif tambahan 10 peratus.

“Perkembangan ini menunjukkan kebimbangan mengenai tarif tercetus kembali, memandangkan tempoh penangguhan 90 hari akan tamat minggu ini.

“Indeks Dolar AS (DXY) turut naik 0.03 peratus kepada 97.208 mata. Pasaran kini berada dalam mod ‘risk-off’,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9647/9752 daripada 4.9675/9770 pada Jumaat, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9091/9155 daripada 2.9225/9282, dan naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.7563/7685 daripada 5.7601/7710 sebelum ini.

Ringgit turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3096/3172 daripada 3.3114/3182 pada Jumaat, serta meningkat sedikit berbanding peso Filipina kepada 7.46/7.48 daripada 7.47/7.49 sebelum ini.

Mata wang itu naik berbanding baht Thailand kepada 12.9837/13.0173 daripada 13.0302/0609, dan kekal hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 260.5/261.2 daripada 260.6/261.2 pada Jumaat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan