JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN SURI RUMAH DISYAKI DERA ANAK ANGKAT

07/07/2025 10:03 PM

SEREMBAN, 7 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang suri rumah kerana disyaki mendera anak angkat berusia 13 tahun di Kuala Klawang, Jelebu sejak tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Jelebu Supt Azizan Said berkata wanita berusia 35 tahun itu ditahan pada 16 Jun, susulan laporan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menerima aduan melalui e-mel Talian Kasih pada hari sama.

“Mangsa dijaga suspek sejak berusia enam tahun dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

“Mangsa memberitahu didera apabila lambat atau lupa melaksanakan arahan selain sering dimaki, dijerit dan dipukul menggunakan objek seperti penyangkut baju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azizan berkata kejadian terbaharu berlaku pada 14 Jun, apabila mangsa dipukul dengan batang besi pembersih vakum hingga lebam di beberapa bahagian badan termasuk siku, pergelangan tangan dan punggung ketika bersiap ke sekolah sempena hari sukan.

Pemeriksaan di Hospital Jelebu mengesahkan terdapat kesan kecederaan pada anggota badan mangsa disebabkan objek tumpul berbentuk rod yang dipercayai berlaku dalam tempoh tiga hari.

Azizan berkata suspek yang mempunyai dua anak kandung berusia lima tahun dan tujuh bulan, dilepaskan dengan jaminan polis dan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis masih menunggu laporan perubatan penuh dan siasatan juga meliputi punca kecederaan mangsa disebabkan penderaan atau tingkah laku hiperaktif.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan