Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn mengadakan beberapa mesyuarat dua hala bersama pemimpin ASEAN, bermula dengan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Selasa.
Mesyuarat itu bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) melibatkan Malaysia, Filipina dan Timor-Leste, dengan setiap mesyuarat berlangsung kira-kira 20 minit meliputi perbincangan pelbagai isu serantau serta dua hala yang menjadi kepentingan bersama.
Sekretariat ASEAN dalam kenyataan memaklumkan pertemuan dengan Mohamad membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh pembinaan Komuniti ASEAN, seiring dengan keutamaan dan pencapaian yang disasarkan oleh Pengerusi ASEAN.
Kao mengulangi komitmen Sekretariat ASEAN untuk menyokong Pengerusi dan negara anggota dalam mencapai matlamat yang digariskan menerusi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, yang diterima pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, Mei lepas.
Dalam pertemuan bersama Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro, kedua-dua pemimpin itu membincangkan usaha memajukan pembinaan Komuniti ASEAN merangkumi pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan pelan strategiknya, serta persiapan Kepengerusian ASEAN oleh Filipina pada 2026.
Kao turut merakamkan ucapan tahniah kepada Lazaro atas pelantikan sebagai Setiausaha Luar Filipina baru-baru ini.
Selain itu, Kao mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas bagi membincangkan kemajuan negara itu dalam mencapai status keanggotaan penuh ASEAN.
Perbincangan itu susulan keputusan pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan diadakan pada Oktober ini.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat berlangsung pada 8 hingga 11 Julai menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Mohamad turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof petang tadi.
Beliau kemudiannya meraikan Menteri Luar dan Komuniti Kebangsaan Luar Algeria Ahmed Attaf dalam satu jamuan makan malam.
Terdahulu, Mohamad mengadakan mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn yang menumpukan kepada usaha memajukan pembinaan Komuniti ASEAN, selari dengan keutamaan dan pencapaian yang disasarkan oleh Pengerusi ASEAN.
-- BERNAMA