AM

INDONESIA GESA SUPAYA PERANAN AICHR LEBIH KUKUH DALAM MEMAJUKAN HAK ASASI MANUSIA ASEAN

08/07/2025 09:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono pada Selasa menggesa agar Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), lebih responsif dan berimpak selain menjalin kerjasama lebih erat serta melakukan pembaharuan bagi memastikan tiada yang terpinggir.

Bercakap pada Mesyuarat Suamuka Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Wakil-Wakil AICHR di Kuala Lumpur, beliau mengesahkan komitmen Indonesia untuk memajukan hak asasi manusia di rantau ini dan menyatakan bahawa “tekad bersama kita perlu disusuli kemajuan yang nyata.”

Beliau menggariskan keutamaan bagi masa depan AICHR termasuk penyelarasan Pelan Kerja Lima Tahun akan datang dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan merapatkan jurang antara komitmen dan hasil.

“AICHR harus bekerjasama lebih erat dengan badan sektoral ASEAN lain khususnya dalam menangani jenayah rentas negara, pemerdagangan manusia dan kemerosotan alam sekitar,” kata Sugiono.

Beliau menyeru AICHR untuk memimpin melalui teladan dengan mempromosikan dialog inklusif dan menolak amalan dwistandard dalam menangani isu hak asasi manusia global termasuk nasib rakyat Palestin.

Indonesia menyambut baik kejayaan Dialog Hak Asasi Manusia ASEAN ke-6 dan mengharapkan edisi ke-7 akhir tahun ini memberi tumpuan kepada penyelesaian yang inovatif.

Sugiono menekankan pencapaian baru-baru ini seperti Garis Panduan Prinsip Bukan Hukuman dan Deklarasi ASEAN mengenai Hak Mendapat Persekitaran Selamat, Bersih, Sihat dan Mampan sebagai contoh ketara keadilan dan hak asasi manusia sebagai langkah ke hadapan.

"Ia juga harus disusuli dengan tindakan bagi memastikan keadilan iklim dan perlindungan lebih baik untuk mereka yang berada dalam situasi yang mudah terjejas," katanya.

Beliau mengulangi sokongan Indonesia untuk AICHR melalui penyelarasan undang-undang, kerjasama serantau dan pembaharuan institusi, mengukuhkan prinsip bahawa "tiada sesiapa yang ketinggalan."

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan