Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 8 Julai (Bernama) -- Indonesia menggesa ASEAN agar mengambil pendirian lebih tegas dalam isu pelucutan senjata nuklear dan memberi amaran perkembangan global mutakhir termasuk serangan terhadap kemudahan nuklear di Iran yang dipantau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semakin menjerumuskan dunia ke ambang ketidakstabilan nuklear.
Menteri Luar Sugiono menyifatkan situasi kawalan senjata pada masa ini sebagai “sangat membimbangkan”, dengan usaha pelucutan senjata yang masih buntu, pertambahan simpanan senjata nuklear dan sikap Negara Senjata Nuklear (NWS) yang bersikap acuh tidak acuh dalam menunaikan kewajipan mereka di bawah Perjanjian Pengawalan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT).
“Perkembangan ini secara ketara meningkatkan risiko salah perhitungan dan peningkatan ketegangan, yang boleh menimbulkan implikasi sangat serius,” katanya pada Mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan terhadap tapak nuklear yang dilindungi mencabuli undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kewibawaan IAEA serta kerangka NPT.
Sugiono berkata ASEAN perlu terus berusaha ke arah rantau bebas senjata nuklear dan menggesa pelaksanaan penuh Perjanjian SEANWFZ, termasuk mendesak NWS untuk menandatangi protokolnya tanpa sebarang syarat.
Indonesia turut menyambut baik kesediaan China untuk menandatangani SEANWFZ tanpa sebarang syarat dan menyifatkannya sebagai “peluang penting” untuk menghidupkan semula momentum.
“Bagi memastikan kemajuan, ASEAN perlu memberi keutamaan kepada langkah memuktamadkan draf Memorandum Persefahaman dengan China dan melaksanakan pelan tindakan yang mempunyai tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar kerjasama dipertingkatkan dengan Zon Bebas Senjata Nuklear lain, khususnya OPANAL di Amerika Latin bagi memperkukuh usaha pelucutan senjata di peringkat antarabangsa.
Mengenai Timor-Leste, Indonesia memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dalam mempercepat proses penyertaan Timor-Leste ke dalam Perjanjian SEANWFZ, dengan Sugiono menegaskan sokongan penuh terhadap penyertaan negara tersebut sebagai negara anggota dan menyatakan harapan agar Timor-Leste menandatangani perjanjian itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
“Penyertaan Timor-Leste akan mengukuhkan skop geografi dan pengaruh politik perjanjian itu,” katanya.
Di sebalik ancaman nuklear yang membimbangkan, beliau berkata Perjanjian SEANWFZ kekal sebagai instrumen utama ASEAN dalam memelihara keamanan dan keselamatan di rantau ini.
“Marilah kita kukuhkan tekad bersama untuk sebuah rantau yang bebas daripada senjata nuklear,” kata Sugiono.
-- BERNAMA