KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Australia menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif sedia ada.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kedua-dua pihak menzahirkan komitmen berterusan untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia, khususnya dalam bidang kerjasama ekonomi, pendidikan dan inisiatif Australia-Malaysia Institutional Strengthening (AMIS).
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Australia Penny Wong di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di sini.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen dan kesediaan untuk menghadiri Dialog Strategik di antara Pegawai-Pegawai Kanan Malaysia-Australia ke-4, Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia-Australia ke-7 serta Mesyuarat Tahunan Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Australia Ketiga yang dijadualkan berlangsung tahun ini.
Australia, Rakan Dialog pertama ASEAN dan Rakan Strategik Komprehensif, turut meraikan 70 tahun kehadiran diplomatik di Malaysia.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” menyaksikan 24 mesyuarat peringkat menteri melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.
-- BERNAMA