AM

WANG YI GESA AS AMBIL PENDEKATAN PRAGMATIK, RINTIS HALA TUJU BAHARU HUBUNGAN DUA HALA

12/07/2025 12:13 AM

Oleh Chiang Hee Tze

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Luar China Wang Yi menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil pendirian objektif, rasional dan pragmatik terhadap China, sambil menyeru kedua-dua pihak merintis hala tuju konstruktif bagi hubungan dua hala pada era baharu.

Menurut Kementerian Luar China, Wang menyampaikan perkara itu semasa pertemuan dua hala dengan Setiausaha Negara AS Marco Rubio di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Jumaat.

Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai hubungan China-AS dan isu-isu berkepentingan bersama.

Wang dengan tegas menjelaskan prinsip teras Beijing dalam memajukan hubungan China-AS, menggesa kedua-dua pihak untuk menterjemahkan konsensus di peringkat tertinggi kepada dasar dan tindakan konkrit.

“Kami berharap AS mengambil pendekatan objektif, rasional dan pragmatik terhadap China, membentuk dasar China berdasarkan prinsip hidup bersama secara aman dan saling menguntungkan, serta berinteraksi dengan China berdasarkan prinsip kesaksamaan dan saling menghormati, bagi bersama-sama merintis hala tuju konstruktif untuk hubungan China-AS pada era baharu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pertemuan tersebut bersifat positif, pragmatik dan konstruktif, selain bersetuju untuk mengukuhkan saluran diplomatik serta komunikasi di semua peringkat dan sektor.

Ia menambah bahawa pertemuan itu bertujuan memanfaatkan usaha diplomasi dalam mempromosikan hubungan dua hala, menguruskan perbezaan dan meneroka peluang untuk memperluas kerjasama.

Sementara itu, semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15, Wang menggariskan tiga cadangan utama, menggesa negara-negara Asia Timur kembali kepada dialog, pembangunan dan keterbukaan.

“China menyokong pengisytiharan ulang tahun ke-20 sidang kemuncak pada tahun ini, yang akan menetapkan hala tuju pembangunan masa depannya,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak memperluas kerjasama dan keterbukaan di tengah-tengah peningkatan risiko unilateralisme dan perlindungan perdagangan.

“Kejayaan Asia Timur datang daripada regionalisme terbuka. Kami menyokong kerjasama yang dipimpin ASEAN, mempertahankan perdagangan pelbagai hala, membina rangkaian perdagangan bebas serantau bertaraf tinggi, dan mempromosikan integrasi serantau,” katanya seperti dipetik kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan