AM

KELUARGA KUKUH ASAS KECEMERLANGAN PENDIDIKAN NEGARA – NANCY SHUKRI

13/07/2025 02:12 PM

KUCHING, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yakin bahawa keluarga yang kukuh merupakan asas kepada kejayaan pendidikan negara dan penting dalam membina persekitaran yang menyokong perkembangan anak-anak secara menyeluruh.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata bagi mencapai matlamat ini, beliau mencadangkan agar Pejabat Pendidikan Daerah Kuching bekerjasama rapat dengan kementeriannya dalam melaksanakan program sokongan keluarga dan keibubapaan di sekolah-sekolah.

“Di Santubong, terdapat 26 sekolah yang terdiri daripada tujuh sekolah menengah dan 19 sekolah rendah. Bersama pasukan saya di Pusat Khidmat Parlimen P193, kami sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi memastikan kemudahan asas, aktiviti pembelajaran serta pelbagai bantuan lain disediakan, supaya murid-murid dapat belajar dengan selesa dan bersemangat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, di sini, hari ini.

Nancy berkata kementeriannya turut mempergiat usaha membantu murid-murid daripada keluarga B40 dengan menyediakan peralatan sekolah, bantuan biasiswa kecil, program motivasi, literasi digital, serta pengukuhan bidang STEM.

“Kita mahu anak-anak kita bukan hanya celik ilmu, tetapi juga berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Pada majlis itu, Nancy menyampaikan sijil kepada 414 warga pendidik dan anggota pelaksana yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2024.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan