AM

KTMB PACU TRANSFORMASI DIGITAL PENGANGKUTAN AWAM MENERUSI APLIKASI KITS STYLE

14/07/2025 12:58 AM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjenamakan semula  Integrated Ticketing System (KITS) kepada SuperApp KITS Style bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap, selamat, mampan dan berdaya saing sekali gus meningkatkan mutu hidup rakyat. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penjenamaan itu bukan hanya platform pembelian tiket tetapi menjadi sebuah Mobility-as-a-Service (MaaS) SuperApp yang menyatukan mobiliti harian dan gaya hidup rakyat dalam satu ekosistem digital yang moden, interaktif dan serba lengkap. 

“Melalui KITS Style, pengguna boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembelian tiket ETS, KTM Komuter, Shuttle Tebrau, tempahan tiket penerbangan, hotel, pembayaran bil utiliti, pembaharuan insurans kenderaan, penghantaran wang, membeli-belah e-dagang dan perancangan perjalanan dengan KITS AI Journey Planner,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Aplikasi KITS Style di sini malam ini. 

KITS merupakan sistem pembelian tiket secara dalam talian yang diperkenalkan pada 17 Ogos 2020.

Loke berkata aplikasi KITS Style dibangunkan hasil kolaborasi strategik antara KTMB dan ManagePay Systems Berhad (MPay) sebagai sebuah platform digital yang dinamik.

“Aplikasi ini dibangunkan melalui konsep kerjasama pintar tanpa sebarang kos ditanggung KTMB atau peruntukan daripada kerajaan.

“Ini satu contoh terbaik agensi kerajaan dengan memanfaatkan kerjasama strategik sektor swasta untuk melaksanakan projek digital yang kompleks bagi memberi manfaat besar kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata KTMB dengan kerjasama Mastercard dan MPay juga sedang membuat penyediaan bagi pelancaran Kad Prabayar KITS Style Mastercard, iaitu kad prabayar transit gelung terbuka pertama di Malaysia dan ASEAN yang dikeluarkan oleh operator rel. 

“Kad ini dalam bentuk maya sudah tersedia melalui aplikasi KITS Style manakala kad fizikal akan mula diperkenalkan pada September nanti. Dengan ini, rakyat bukan sahaja dapat mengakses pengangkutan awam dalam negara, malah boleh digunakan merentas sempadan ASEAN dengan lebih mudah dan selamat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan