JENAYAH & MAHKAMAH

TIADA MANGSA DIKHUATIRI LEMAS DALAM KEMALANGAN DI JALAN BAZAR KARAT - BOMBA

13/07/2025 02:25 PM

JOHOR BAHRU, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini mengesahkan tiada mangsa dikhuatiri lemas dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua motosikal berhampiran Pos Malaysia di Jalan Bazar Karat di sini malam tadi.

Komander Operasi PBK I Firdaus Abdullah berkata semakan akhir melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati hanya seorang mangsa tercampak akibat impak kemalangan, namun tidak jatuh ke dalam sungai seperti yang dimaklumkan oleh mangsa lain. 

“Mangsa berkenaan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut, menjadikan jumlah keseluruhan hanya tiga mangsa yang terlibat. 

“Ketika Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi, semua mangsa telah dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, PKO dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Skudai menjalankan operasi pencarian selepas menerima maklumat awal terdapat kemungkinan seorang mangsa terjatuh ke dalam saluran air laut berhampiran lokasi kejadian.

Operasi pencarian melibatkan kawasan sepanjang 30 meter dan tiga kali selaman sedalam 12 kaki ke dasar sungai dijalankan, namun tiada mangsa ditemukan sebelum operasi ditamatkan pada 1.14 pagi.

Sebanyak 16 anggota terlibat dalam operasi berkenaan selain membabitkan penggunaan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) serta kenderaan pacuan empat roda milik PPDA.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan