KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini menyerahkan bendera kepada kontinjen negara sebagai simbolik pelepasan ke 16th World Scout Moot 2025 yang akan berlangsung di Portugal dari 24 Julai hingga 3 Ogos ini.
Ketua Pengakap Negara Mej Jen (B) Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata penyertaan itu menjadi platform penting dalam membina kepimpinan global dalam kalangan belia Malaysia.
"Ini selaras dengan aspirasi untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera itu di sini hari ini.
Mohd Zin berkata kontinjen Malaysia kali ini terdiri daripada 19 peserta termasuk anggota Pengakap Kelana dan pasukan pengurusan, menjadikannya penyertaan terbesar negara dalam sejarah World Scout Moot.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk ibu bapa, penaja dan badan pengakap negeri yang menyokong misi kontinjen negara ke Portugal.
"Mereka diharap dapat menjadi ejen perubahan serta menyumbang ilmu dan pengalaman yang diperoleh demi kemajuan masyarakat dan negara," katanya.
Program anjuran Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) setiap empat tahun itu bakal menghimpunkan lebih 8,000 pengakap Kelana dan dewasa dari 100 negara, khusus untuk belia berusia 18 hingga 25 tahun.
Edisi ke-16 itu akan berlangsung di beberapa lokasi utama termasuk Lisbon, Ovar dan Porto, dengan fokus kepada pembinaan kepimpinan, pertukaran budaya, penglibatan komuniti dan pembangunan sahsiah.
Selepas upacara perasmian di Lisbon, peserta akan menyertai ‘Path’, iaitu projek berasaskan komuniti, alam sekitar, pengembaraan dan budaya bagi mendalami identiti Portugal.
Mereka kemudian akan ke Ovar, iaitu tapak perkhemahan utama bagi menyertai pelbagai aktiviti termasuk kerohanian; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aktiviti lasak, sebelum ke Porto untuk Forum Belia Mini dan aktiviti Parlimen Belia menjelang upacara penutup.
Bertemakan ‘Engage’ dan berteraskan moto ‘Pengakap Kelana untuk berkhidmat’, penyertaan ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi kontinjen Malaysia mengasah potensi diri dalam era kecerdasan buatan (AI).
Kontinjen Malaysia dijangka berlepas tidak lama lagi dan pulang pada awal Ogos.
-- BERNAMA