Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- New Zealand menyatakan sokongan teguh terhadap usaha berterusan ASEAN untuk mengekalkan rantau ini sebagai kawasan bebas senjata nuklear, dengan menyifatkan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebagai tonggak penting keamanan dan keselamatan serantau.
Menteri Luarnya, Winston Peters berkata perjanjian yang berkuat kuasa sejak 1997 itu merupakan “manifestasi nyata hasrat mendalam ASEAN” untuk mencegah percambahan ancaman nuklear, terutamanya ketika kuasa-kuasa bersenjata nuklear terus memoden dan memperluaskan senjata masing-masing di tengah ketegangan global yang semakin memuncak.
“Kami adalah Negara Pihak kepada Perjanjian Rarotonga, yang mewujudkan zon bebas senjata nuklear di Pasifik Selatan.
“Kami juga menyokong zon-zon bebas senjata nuklear lain dan kepentingannya dalam menyumbang kepada keamanan serta keselamatan serantau,” katanya dalam kenyataan bertulis kepada Bernama semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.
Menurut Peters, New Zealand melihat SEANWFZ sebagai sebahagian daripada rangkaian lebih luas zon bebas senjata nuklear di hemisfera selatan, termasuk di Amerika Latin, Afrika dan Pasifik Selatan.
Beliau menegaskan kepentingan zon-zon ini dalam memperkukuh norma pelucutan senjata global, terutamanya ketika ketidaktentuan strategik semakin meruncing.
“Adalah lebih penting kini, sebagai sesama anggota perjanjian zon bebas senjata nuklear, kita terus menyokong satu sama lain dalam mempertahankan prinsip-prinsip ini.
“Kita juga perlu terus bekerjasama dalam menyokong Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) danTriti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang disertai oleh kedua-dua negara kita,” katanya.
Dalam isu kerjasama bencana serantau, Peters mengulangi komitmen Wellington untuk terus bekerjasama secara aktif dengan negara-negara ASEAN dalam memperkukuh sistem amaran awal, kesiapsiagaan bencana dan usaha pemulihan pasca krisis.
Beliau berkata Agensi Pengurusan Kecemasan Negara (NEMA) New Zealand menjalinkan kerjasama berterusan dengan rakan serantau serta menyertai pelbagai platform, termasuk Forum Pegawai Kanan Pengurusan Bencana APEC.
“Platform-platform ini membuka ruang untuk membincangkan cabaran bersama dan mengenal pasti peluang kerjasama,” katanya.
New Zealand menyumbang lebih NZ$5 juta (US$3.05 juta) dalam bentuk sokongan kewangan dan teknikal kepada Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN dalam pengurusan bencana (Pusat AHA).
Pakar-pakar dari New Zealand juga mengetuai latihan untuk negara anggota ASEAN dalam bidang tindak balas bencana dan kepimpinan krisis, katanya.
Beliau turut mengetengahkan kerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan halal, dengan menyatakan bahawa New Zealand kekal sebagai pembekal makanan halal berkualiti tinggi dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menyemak semula Pelaksanaan Pengaturan Halal sedia ada.
“Kita sedang membuat kemajuan yang baik dan turut berusaha ke arah mewujudkan sistem pertukaran pensijilan elektronik antara kedua-dua negara, termasuk bagi sijil halal,” katanya.
Peters mengetuai delegasi New Zealand ke beberapa sesi peringkat tinggi sepanjang mesyuarat itu, termasuk Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN-New Zealand, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar, Forum Serantau ASEAN ke-32.
-- BERNAMA