GEORGE TOWN, 13 Julai (Bernama) -- Ahli UMNO perlu terus memelihara perpaduan dan kesetiaan kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang bakal menentukan masa depan politik tanah air, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perpaduan dan kesetiaan kepada parti ketika berhadapan cabaran semasa merupakan tonggak utama dalam usaha mengukuhkan semula UMNO supaya parti itu kembali kuat seperti sebelum ini.
"Kita perlu pastikan kita sentiasa dalam keadaan yang mengekalkan perpaduan yang baik dan tinggi, serta memastikan kesejahteraan parti kita," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini hari ini.
Mohamed Khaled juga mengingatkan ahli supaya menerima realiti bahawa tiada lagi mana-mana parti politik mampu menjadi dominan secara tunggal seperti dahulu justeru UMNO memerlukan sokongan padu daripada rakan gabungannya dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU16.
Sementara itu, di KOTA TINGGI, Johor, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa ahli parti itu supaya tidak leka sebaliknya terus bekerja keras bagi mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU lepas dan merampas semula kerusi daripada parti lawan.
“Kita tidak boleh leka, tak boleh mimpi kalau nak menang pilihan raya. Kemenangan tak datang dengan harapan kosong, ia perlu usaha dan strategi. Kita perlu pastikan kerusi Parlimen dan DUN yang ada terus kekal dan dalam masa sama cari ruang untuk tambah kerusi lain,” katanya.
Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia.
Mahdzir juga menggesa ahli UMNO dan penyokong parti itu supaya tidak mudah terperdaya dengan berita palsu dan fitnah sebaliknya berpegang kepada fakta serta mencari kebenaran dalam mendepani landskap politik yang semakin mencabar.
Beliau berkata antara cabaran besar yang perlu ditangani parti ketika ini ialah penyebaran berita berunsur fitnah yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO.
-- BERNAMA