KOTA BHARU, 13 Julai (Bernama) -- Seramai 200 pemain dijangka menyertai Kejohanan Golf Terbuka Amatur Kelantan ke-48 yang akan berlangsung di Kelantan Golf & Country Club (KGCC) Pengkalan Chepa di sini dari 26 hingga 28 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata kejohanan itu menjadi platform untuk mempromosikan sektor pelancongan negeri, khususnya kepada pemain dari luar Kelantan.
“Walaupun kejohanan ini berskala kecil, ia tetap memberi impak besar dalam memperkenalkan produk pelancongan tempatan,” katanya pada sidang media di KGCC hari ini.
Beliau berkata antara hadiah yang ditawarkan termasuk sebuah kereta Perodua, sebuah e-basikal, jam tangan Garmin dan Huawei Golf serta wang tunai RM5,000.
Kamarudin turut berharap para pemain dapat menjadi "duta kecil" dalam mempromosikan pelancongan negeri kepada rakan masing-masing selepas tamat kejohanan.
-- BERNAMA