IPOH, 13 Julai (Bernama) -- Karnival Sukan Perak (SUPER) 2025 yang bermula 10 Julai lepas melabuhkan tirainya hari ini dengan penyertaan lebih 1,200 atlet dari 12 daerah seluruh negeri.
SUPER edisi kali ini menyaksikan enam jenis sukan dipertandingkan iaitu pingpong, bola tampar, bola keranjang, hoki, memanah dan sepak takraw.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata penganjuran temasya itu menjadi medan pencarian bakat baharu untuk diserap ke dalam skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Perak bagi edisi Selangor 2026.
Beliau berkata pemilihan acara yang dipertandingkan juga dibuat berdasarkan beberapa faktor, termasuk ketiadaan penyertaan dalam SUKMA 2024, selain kurangnya pendedahan serta pembangunan berterusan terhadap sukan tersebut di peringkat negeri dan daerah.
“Melalui SUPER ini, kita berpeluang menilai secara langsung potensi atlet di peringkat akar umbi yang mungkin sebelum ini tidak terdedah kepada pertandingan kompetitif.
"Mereka yang dikenal pasti berpotensi akan diserap ke dalam program pelatih SUKMA dan dibimbing oleh jurulatih sebagai persediaan kita untuk SUKMA 2026,” katanya ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Karnival SUPER 2025 di Arena Badminton Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.
Khairudin berkata penganjuran SUPER juga penting bagi memastikan pembangunan atlet dan pencarian bakat tidak terhenti malah lebih tersusun dalam melahirkan atlet berkualiti untuk mewakili negeri di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, daerah Muallim muncul juara keseluruhan apabila mengutip 10 pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa diikuti Kinta di tempat kedua dengan tujuh emas, enam perak dan satu gangsa manakala Manjung di tempat ketiga milik selepas meraih tiga emas dan enam gangsa.
-- BERNAMA