KOTA KINABALU, 14 Julai (Bernama) -- Sebanyak 159 mahasiswa kurang berkemampuan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah di sini hari ini, menerima bantuan kewangan sekali beri RM500 bagi meringankan beban kewangan mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata peruntukan berjumlah RM79,500 itu, diagihkan melalui program Bantuan Pengajian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) MADANI (KPT-PTPTN MADANI).
“Program ini langkah positif dalam memastikan setiap pelajar berkelayakan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang kewangan mereka seiring dengan komitmen KPT dan PTPTN dalam memperkasakan pendidikan tinggi di Malaysia.
“Bantuan ini manifestasi keprihatinan KPT dan PTPTN terhadap golongan pelajar yang memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan impian mereka,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian bantuan itu di UiTM Sabah di sini hari ini.
Zambry berkata bantuan berkenaan disalurkan pelbagai pihak kepada PTPTN dan seterusnya diagihkan kepada pelajar sangat memerlukan untuk melanjutkan pelajaran.
Selain itu, beliau turut meminta ibu bapa untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk masa depan pendidikan anak, yang boleh dibuka selepas kelahiran anak.
“Simpan sedikit demi sedikit pun boleh, kerana simpanan akan bertambah dan boleh digunakan untuk anak melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.
Sementara itu, PTPTN dalam kenyataan memaklumkan, setakat ini 1,962 penuntut di 16 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerima bantuan berjumlah RM981,000, sejak bantuan itu dilaksanakan pada 2022.
-- BERNAMA