KAPIT, 14 Julai (Bernama) -- Program Digital anjuran Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) di Long Busang, sebuah penempatan terpencil di negeri ini, membuka lembaran baharu dalam transformasi digital kaum Kenyah Badeng di daerah Bukit Mabong, 224 kilometer dari sini.
Program dua hari bermula 9 Julai itu yang disertai lebih 200 penduduk pelbagai peringkat umur menandakan kesinambungan inisiatif SMA sejak rangkaian telekomunikasi dibekalkan ke kawasan berkenaan pada 2019 seterusnya mengubah landskap digital penempatan yang sebelum ini terpinggir.
Pelbagai agensi menjayakan program tersebut termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), SiliconNet Technologies Sdn. Bhd (SNT), Pustaka Negeri Sarawak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Sarawak Skills serta seorang pengusaha pertanian pintar, Cooplay Nyipa Aji.
Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata pihaknya tidak mahu rangkaian telekomunikasi sekadar untuk media sosial sahaja tetapi juga menjadi pemangkin kepada penyertaan masyarakat dalam ekonomi digital.
"Program ini juga bertujuan untuk memperkasakan komuniti dengan ilmu dan kemahiran digital, menggalakkan penyertaan komuniti dalam ekonomi digital serta mempromosikan aplikasi dan perkhidmatan digital kerajaan Sarawak," kata Tiong menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Dr Suhaila Jaafar.
Tiong berkata kehadiran SMA bersama agensi-agensi berkaitan bukan sekadar untuk memperkenalkan ilmu dan teknologi baharu, tetapi untuk mengenali komuniti Long Busang dan memahami keperluan serta potensi mereka.
“Ini penting agar setiap inisiatif digital yang kita laksanakan sesungguhnya memberikan manfaat dan disesuaikan dengan keperluan setempat,” katanya.
Sementara itu, Dr Suhaila memberitahu pemberita bahawa program itu turut bermatlamat menilai kemajuan masyarakat di Long Busang sejak perkhidmatan 4G dan Wi-Fi dilancarkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di penempatan itu pada 2019.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri berhasrat untuk melaksanakan perkhidmatan awam sepenuhnya secara digital menjelang 2030 dan rakyat perlu bergerak seiring dengan matlamat berkenaan.
“Ini bukan sekadar Touch and Go dan tidak ada kesinambungan pada program-program yang kita buat. Jadi, menyahut cabaran ini kita mahu pastikan program yang kita lancarkan atau laksanakan ada kesinambungannya,” katanya.
Seorang peserta Kelen Belarek, 51, mengakui bahawa program itu telah membuka peluang besar bagi penduduk Long Busang terutamanya generasi muda untuk menghadapi dunia digital.
Kelen yang hanya menggunakan komputer dan telefon pintar bagi tujuan perhubungan dan melayari media sosial sebelum ini berkata program itu memberinya banyak pengetahuan baharu untuk menerokai kaedah terkini bagi meningkatkan taraf kehidupannya.
“Saya boleh uruskan tugas dengan lebih pantas dan berhubung dengan rakan-rakan, keluarga walaupun jauh dan banyak belajar perkara-perkara baru secara dalam talian,” katanya sambil berharap program itu dapat diteruskan bagi mengukuhkan lagi kemahiran digital dan mengembangkan potensi penduduk.
Bagi Kasim Tega, 50, SMA berjaya mendedahkan penduduk Long Busang dengan pengetahuan dan kemahiran digital menerusi program itu, selain membawa agensi-agensi lain untuk menerangkan tentang kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak kepada rakyat.
Sebagai susulan selepas didedahkan dengan pelbagai pengetahuan seperti Internet Pelbagai Benda (Internet of Things - IoT) dan penggunaan dron dalam pertanian semasa program itu, Kasim berharap penduduk penempatan pedalaman itu dapat didedahkan dengan latihan teknik pemasaran produk.
“Masalah paling sulit kami hadapi di sini adalah pemasaran hasil-hasil yang kami perolehi. Ke mana kami hendak jual? Pemasaran itu yang penting. Semoga ada pihak-pihak tertentu yang berminat untuk membeli produk-produk dari kami,” katanya.
Seramai 36 petugas agensi kerajaan Sarawak dan empat pengamal media dari Kuching turut menyertai Program Digital ke Long Busang yang melibatkan penerbangan dari Kuching ke Sibu, diikuti perjalanan darat sejauh 374 kilometer melalui jalan balak dengan menaiki pacuan empat roda.
Program Digital SMA di Long Busang bukan sekadar transformasi teknologi malah suatu langkah penting dalam memastikan tiada komuniti terpinggir dalam arus pembangunan digital Sarawak.
-- BERNAMA