KUCHING, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan komitmennya terhadap penyelidikan dan pemuliharaan biodiversiti tropika menerusi pelancaran rasmi Stesen Penyelidikan Bako yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini, hari ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata stesen itu bukan sekadar fasiliti penyelidikan biasa, malah menjadi platform penting bagi pertukaran ilmu, inovasi saintifik, dan perlindungan jangka panjang terhadap khazanah alam negeri ini.
“Impak stesen ini melangkaui Taman Negara Bako. Keupayaan penyelidikan yang ada akan memberi manfaat kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) serta komuniti sekitar di luar kawasan taman negara,” katanya menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Stesen itu adalah hasil kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan SFC dengan matlamat menjadi pusat penyelidikan saintifik dan pemeliharaan alam sekitar yang berkesan.
“Penemuan yang diperoleh oleh penyelidik dan pelajar di sini mampu membantu SFC mengurus taman-taman negara di seluruh Sarawak dengan lebih baik. Kita perlu mencari pendekatan pengurusan yang seimbang antara pemeliharaan ekosistem dan keperluan komuniti setempat,” katanya.
Len Talif turut menyuarakan harapan agar pembukaan stesen baharu itu menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran dan sokongan masyarakat terhadap usaha pemuliharaan alam semula jadi.
Katanya tahap kesedaran komuniti setempat terhadap nilai serta kepentingan taman negara masih rendah dan perlu diberi perhatian.
Beliau juga menjangka kerjasama antara UNIMAS dan SFC akan mampu melonjakkan kedudukan Sarawak dalam arena penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia, selain mengukuhkan reputasi antarabangsa kedua-dua institusi berkenaan.
“Terdapat khazanah ilmu yang sangat bernilai di Bako yang boleh kita kongsikan dengan dunia. Kita telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang ini dan kini tiba masanya untuk memperkukuhkan lagi pencapaian tersebut,” katanya.
Stesen Penyelidikan Bako dilengkapi makmal penyelidikan, ruang penyimpanan peralatan lapangan serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap, bagi menyokong kajian akademik dan lapangan.
-- BERNAMA