DUNIA

ASEAN PERLU ATASI MENTALITI SILO UNTUK BERINTEGRASI DAN MEMIMPIN - MUNIR MAJID

14/07/2025 09:45 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang baru sahaja berakhir disifatkan sebagai satu langkah besar ke hadapan buat blok serantau itu, dengan kenyataan bersama yang diterbitkan dianggap “sangat menyeluruh” dan amat diperlukan dalam menghadapi landskap politik-keselamatan dan ekonomi serantau yang semakin mencabar.

Berkongsi pandangan dari London, Pengerusi Penyelidikan dan Advokasi CARI ASEAN Tan Sri Dr Munir Majid berkata kenyataan bersama setebal 32 muka surat itu mengandungi 160 perenggan dan meliputi pelbagai isu penting.

“Skop dan kedalaman isu yang dibincangkan menunjukkan pegawai ASEAN benar-benar memahami kepentingan perkara yang disentuh. Mungkin ada satu dua perkara kecil yang boleh dipersoalkan, namun secara keseluruhan ia adalah dokumen yang baik,” kata Felo Kanan Pelawat di Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Diplomasi dan Strategi di London School of Economics (LSE).

Apa yang paling menonjol bagi Munir ialah keputusan bersejarah untuk memulakan penyelarasan rasmi antara menteri luar dan menteri ekonomi ASEAN.

“Ini kali pertama. Ia langkah yang sangat baik kerana sebelum ini mereka tidak banyak berkomunikasi - mereka bekerja secara terasing,” katanya.

Beliau menambah inisiatif itu mencerminkan realiti semasa bahawa isu ekonomi kini semakin mempunyai implikasi keselamatan, khususnya dalam suasana ketidaktentuan global dan ketegangan perdagangan.

Namun, katanya, di peringkat ASEAN, komitmen atas kertas perlu disusuli dengan tindakan di peringkat negara. Tidak cukup sekadar bermesyuarat - hasilnya mesti nyata.

 

Kesepaduan RCEP-CPTPP: Keperluan strategik

 

Munir turut mencadangkan agar ASEAN melangkah lebih jauh dengan melancarkan projek strategik untuk menyepadukan dua perjanjian perdagangan serantau utama - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“RCEP merangkumi kira-kira 30 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, sebahagian besarnya disumbangkan oleh China. CPTPP pula meliputi 18 peratus. Jika kedua-duanya disepadukan, itu akan menjadi langkah besar ke arah integrasi ekonomi serantau,” katanya kepada Bernama.

Beliau menggariskan dua pendekatan ke arah penyepaduan itu: keanggotaan bersama dan piawaian bersama. Negara seperti China yang menganggotai RCEP tetapi bukan CPTPP boleh dipertimbangkan untuk menyertai CPTPP sekiranya memenuhi piawaian ditetapkan.

“Biarkan China menyertai dan mematuhinya. Malah beberapa anggota CPTPP sedia ada pun mempunyai pengecualian, jadi perkara ini tidak seharusnya menjadi halangan,” kata penganalisis hal ehwal ASEAN itu.

Sebagai alternatif, kedua-dua blok boleh menyelaras piawaian seperti kadar tarif dan peraturan asal-usul barangan, meskipun keanggotaannya berbeza.

Beliau berkata perkara itu kini amat mendesak memandangkan Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan tarif baharu dan sekatan pelaburan yang lebih ketat. ASEAN dan rakan-rakannya perlu mewujudkan ruang pertumbuhan baharu secara dalaman.

Pada April 2025, AS melaksanakan mekanisme “tarif timbal balik” dengan mengenakan cukai antara 24 hingga 49 peratus ke atas import dari negara anggota ASEAN. Malaysia dikenakan tarif 24 peratus, Kemboja 49 peratus, Vietnam 46 peratus, manakala Laos dan Myanmar masing-masing 40 peratus.

Menjelang Julai, tarif tersebut diperincikan: kadar Malaysia dinaikkan satu peratus kepada 25 peratus, manakala Vietnam dan Kemboja mencatat penurunan (masing-masing kepada 20 dan 36 peratus). Kadar untuk Indonesia dan Thailand kekal pada 32 dan 36 peratus. Singapura, Filipina dan Brunei masih menunggu pengesahan rasmi.

Bagaimanapun, Munir menegaskan Asia Pasifik kekal sebagai pusat pertumbuhan ekonomi global.

“Walaupun AS kekal sebagai pemain penting, jika ia enggan mengambil bahagian secara konstruktif, rantau ini perlu terus mara ke hadapan,” katanya.

 

Penglibatan AS: Kepentingan, Pelaburan dan Pengaruh

 

Dalam hal ini, Munir menyambut baik kehadiran Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke AMM dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), menyifatkannya sebagai isyarat bahawa AS masih berminat terhadap rantau ini.

Beliau mendedahkan bahawa EAS merupakan inisiatif yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini telah berkembang kepada 18 anggota.

Kehadiran Rubio, katanya, menunjukkan AS mahu melindungi pelaburan besar mereka di Asia Tenggara.

“Ramai lupa - pelaburan AS di Asia Tenggara lebih besar daripada gabungan China, Jepun, Korea Selatan dan India. Itu kepentingan yang besar.”

“Namun, ASEAN juga mesti menyatakan kepentingan sendiri dengan jelas. Kita akui kepentingan AS, tapi kita juga perlu mempertahankan hak kita tanpa gentar dengan pendekatan ala-Trump,” katanya sambil menyifatkan Rubio lebih terbuka dan sedia mendengar.

 

Menangani Isu Serantau: Myanmar, Kemboja-Thailand dan Keselamatan Maritim

 

Mengenai isu kemanusiaan, Munir mengiktiraf usaha ASEAN menyokong gesaan gencatan senjata di Gaza, namun menyedari tiada kecaman sebulat suara terhadap tindakan Israel.

Katanya, tiada konsensus dalam ASEAN untuk menyifatkannya sebagai genosid, mungkin kerana blok itu ingin memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan dan usaha gencatan senjata.

Pemerhati ASEAN itu juga menyentuh isu sensitif yang tidak disebut secara terbuka dalam kenyataan bersama seperti pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand.

“Ia bukan isu dalaman; ia isu antarabangsa. Tetapi kerana sensitiviti, ASEAN hanya menyeru gencatan senjata tanpa menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal secara haram di perairan negara, yang menurutnya memerlukan penguatkuasaan dan kerjasama serius.

Berhubung Myanmar, Munir meluahkan pandangan bercampur-campur. Beliau mengiktiraf sokongan berterusan kepada usaha Tan Sri Othman Hashim selaku utusan khas, tetapi berkata belum banyak kemajuan dicapai.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik pengesahan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa beliau bersama empat menteri ASEAN lain akan mengunjungi Myanmar pada September.

“Itu langkah baik. Kita perlu terus proaktif dalam menyokong usaha ke arah pemulihan dan perdamaian,” katanya.

 

Keperluan Mendesak Kod Tatalaku Laut China Selatan

 

Mengenai isu Laut China Selatan, Munir merujuk kepada Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak (DOC) 2002 dan “pembacaan kali ketiga” Kod Tatalaku (COC) yang telah lama dinantikan.

“Sudah lebih dua dekad. Saya harap sesuatu dapat dimuktamadkan tidak lama lagi. Sama ada mengikat secara undang-undang atau tidak, COC mesti mengatur tingkah laku. Jika dilanggar, maka tetap dilanggar,” katanya.

Munir turut menekankan keperluan ASEAN memperkukuh peranannya dalam memastikan rantau ini kekal sebagai zon bebas senjata nuklear.

“ZOPFAN telah diisytihar pada 1971. Rusia dan China menyokongnya, tetapi AS masih belum benar-benar komited,” katanya.

Walaupun Malaysia dan AS telah menandatangani MoU mengenai tenaga nuklear secara aman, beliau menggesa Washington agar menyesuaikan penglibatan ekonomi dengan jaminan keselamatan.

“Kita mesti pastikan senjata nuklear tidak menyusup masuk ke rantau ini. Kesan radiasi tidak mengenal sempadan.”

Beliau turut memuji penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC), yang kini mempunyai 57 penandatangan.

Ditubuhkan pada 1976, TAC ialah payung ASEAN untuk penyelesaian pertikaian secara aman dan prinsip tidak campur tangan - dan penambahan penyertaan negara luar mencerminkan perluasan peranan diplomatik ASEAN yang amat dialu-alukan, katanya.

 

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

 

Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini, Munir menyenaraikan tiga keutamaan utama: arahan rasmi ke arah penyepaduan RCEP dan CPTPP, Kod Tatalaku yang tegas di Laut China Selatan, serta langkah mempercepat integrasi ekonomi ASEAN.

“Kita sering bercakap tentang ekonomi digital dan AI, tetapi pergerakan bebas tenaga kerja mahir masih terbatas. Negara anggota yang lebih maju perlu bantu yang lain ke hadapan,” katanya, sambil menekankan potensi ASEAN menambah US$3 trilion kepada KDNK menjelang 2050.

Mengenai tarif AS, khususnya kadar 25 peratus ke atas barangan Malaysia, Munir menggesa pendekatan pragmatik.

“Ya, ada negara seperti Vietnam yang mendapat kadar lebih baik. Tapi mereka terpaksa beri komitmen sukar - beli lebih banyak barangan AS, dan kawal penghantaran semula. Malaysia perlu seimbangkan kepentingan negara dengan tawaran strategik.”

Beliau turut menasihatkan supaya tidak menyalahkan perunding Malaysia.

“Bukan mudah. AS sering ubah syarat. Hari ini isu tarif, esok isu pensijilan halal atau kebocoran cip AI. Trump juga sering campur tangan dalam dasar domestik.”

Melangkah ke hadapan, Munir menggesa ASEAN kekal di landasan dan membina ekonomi serantau yang berdaya tahan.

“Jika globalisasi sudah berakhir dengan Trump, marilah kita mengekalkan bahagian yang baik di rantau kita. Mari bina platform untuk tatanan ekonomi global baharu dengan ASEAN sebagai terasnya,” katanya.

-- BERNAMA

 
 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan