DUNIA

KEBAKARAN HUTAN JEJASKAN TUJUH HEKTAR TANAH DI SUMATERA

14/07/2025 09:52 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 14 Julai (Bernama) -- Sekurang-kurangnya tujuh hektar tanah musnah dalam kejadian kebakaran hutan di Pulau Sumatera, Indonesia hujung minggu lalu, dengan insiden dilaporkan di wilayah Sumatera Barat dan Aceh, menurut agensi bencana negara pada Isnin.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Tempatan (BPBD), satu kebakaran berlaku di daerah Lima Puluh Kota, Sumatera Barat pada Ahad di Jorong Sarasah Tanggo, Nagari Sarilamak, kecamatan Harau, membakar kira-kira empat hektar tanah.

“Pasukan darat telah dikerahkan dan berjaya memadamkan kebakaran. Punca kejadian masih dalam siasatan,” kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Satu lagi kebakaran berasingan, dipercayai berpunca daripada cuaca ekstrem, berlaku di Jorong Bansa, Nagari Gaung, kecamatan Kubung, daerah Solok, yang memusnahkan kira-kira satu hektar kawasan lain dalam wilayah tersebut.

“Anggota bomba yang dibantu sebuah lori tangki air dan jentera bomba berjaya mengawal keadaan sebelum kebakaran merebak,” tambah Abdul Muhari.

Di wilayah jiran Aceh, Abdul Muhari berkata kebakaran turut dilaporkan di Gampong Suka Mulia, kecamatan Lembah Seulawah, daerah Aceh Besar, melibatkan anggaran dua hektar kawasan pertanian yang ditanam dengan tanaman muda termasuk koko.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa sejam oleh tiga anggota bomba dengan bantuan satu jentera bomba yang dihantar BPBD Aceh Besar,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan tempatan dan komuniti supaya meningkatkan kewaspadaan serta mengelak aktiviti berisiko tinggi seperti pembakaran tanah bagi tujuan pertanian, pembuangan sampah terbuka, atau membuang puntung rokok secara cuai di kawasan kering.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan