FOKUS BERNAMA

USAHAWAN KREATIF HIDUPKAN PREMIS TERBIAR JADI SUMBER REZEKI

15/07/2025 12:06 PM


From Nurqalby Mohd Reda

Di celah-celah bangunan moden yang melangit, adakala terselit premis-premis usang tidak berpenghuni, dimamah usia dan menjadi beban visual serta fizikal kepada landskap sesebuah pekan atau kampung.    

Terbiar dan dilupakan, bangunan-bangunan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi ada juga yang dijadikan “pangkalan” aktiviti jenayah dan kegiatan tidak bermoral.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ada inisiatif pihak-pihak tertentu yang mengangkat semula premis sedemikian ke pancapersada tarikan umum menerusi konsep “repurpose” atau penggunaan semula dengan tujuan baharu.

Konsep ini sudah lama popular di luar negara, di mana bangunan terbiar diubah suai dan digunakan semula bagi tujuan baharu. Lazimnya, struktur asal bangunan dikekalkan, sekali gus memberikan keunikan kepada premis yang dijadikan antaranya  kafe, restoran malah hotel. 

 

KUARTERS LAMA

Bagi Muhammad Zairee Izwan Zahir, usaha bapanya menukarkan sebuah kuarters polis di Sungai Petani, Kedah yang terbiar bertahun-tahun lamanya menjadi sebuah hotel, adalah satu keputusan tepat. 

pic-2

Dikenali sebagai Zaque’s Hotel, kini hotel bertaraf tiga bintang itu menjadi antara lokasi penginapan pilihan pelanggan, terutamanya  mereka yang datang dari luar daerah tersebut.

“Idea untuk mentransformasikan berek polis ini merupakan idea arwah ayah, Zahir Yahya, pada 2016. Ayah yang merupakan seorang kontraktor, nampak potensi empat blok bangunan empat tingkat tersebut.

“Alhamdullilah, ayah berjaya ambil alih tanah berserta bangunan tersebut secara pajakan daripada agensi berkaitan. Pada waktu itu kami semua tidak tahu perancangan ayah untuk mendirikan hotel,’’ katanya kepada Bernama.

Muhammad Zairee Izwan yang mesra disapa Zairee, berkata pada asalnya mereka kurang yakin dengan perancangan si ayah  untuk menukarkan kuarters itu menjadi hotel berikutan keadaan bangunan yang dilihat sangat usang.

"Bayangkan, dinding bangunan diselimuti debu dan lumut. Jeriji tingkap berkarat selain ada bahagian dinding yang hampir roboh. Bangunan juga terletak di lokasi yang agak sunyi,” ceritanya.

Menurut Zairee yang juga Pengarah Urusan Zaque’s Hotel, keadaan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat bapanya yang mengeluarkan modal sendiri dan menggunakan kemahiran sebagai kontraktor untuk membaik pulih bangunan tersebut secara beransur-ansur.

pic-3

“Usaha membaik pulih dan mengubah suai dalaman kuarters ini mengambil masa empat tahun dan siap sepenuhnya pada penghujung 2019. Kami mula beroperasi pada tahun yang sama,” katanya.

Beliau berkata mereka juga mengekalkan struktur dan bentuk asal bangunan agar identiti kuarters polis itu tidak hilang. 

“Untuk bilik penginapan dan juga beberapa bahagian dalaman lain, ayah lakukan ubah suai berdasarkan ideanya sendiri.

“Selepas ayah meninggal dunia sekitar Jun 2020, kami adik-beradik  mengambil alih pengurusan hotel ini, meliputi keseluruhan operasi termasuk bahagian dapur. Kami sendiri tentukan menu yang akan disajikan kepada tetamu hotel,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

 

JADI TUMPUAN

Mengulas lanjut, usahawan berusia 28 tahun itu berkata operasi hotel yang pada awalnya hanya  menawarkan penginapan kepada pengunjung, kemudian diperluaskan kepada perkhidmatan lain termasuk sebagai lokasi acara seperti majlis perkahwinan dan lain-lain.

pic-4

“Selain menawarkan 30 bilik  dan 45 unit penginapan berkonsepkan pangsapuri, kami turut menganjurkan majlis perkahwinan, majlis berbuka puasa, sambutan hari jadi dan turut dijadikan lokasi untuk mesyuarat oleh agensi kerajaan di sini,” katanya.

Menurut Zairee, keputusan mereka mempelbagaikan perkhidmatan tersebut menjadikan kawasan seluas 1,507 meter persegi itu yang sebelum ini suram, bertukar meriah dengan kehadiran pengunjung serta tetamu hotel.

“Daripada maklum balas pelanggan, hotel ini memiliki penarafan tinggi dan antara hotel yang menganjurkan paling banyak majlis di Sungai Petani ini. Selain mengetengahkan konsep moden dan minimalis untuk kamar penginapan, kami juga percaya Zaque’s Hotel menjadi pilihan kerana terletak berhampiran pusat bandar Sungai Petani,’’ katanya.

Setelah hampir lima tahun menguruskan hotel itu, Zairee berkata matanya kini “terbuka” dan menyedari bangunan lama masih boleh “berbakti” jika kena caranya.  

“Saya melihat bangunan lama bukan lagi struktur usang semata-mata, sebaliknya mampu menjadi pelaburan yang membawa pulangan lumayan,” kata beliau.

pic-5

Sehubungan itu, beliau berpendapat  tidak semua bangunan usang dan terbiar perlu dirobohkan, sebaliknya jika dimanfaatkan semula bangunan tersebut mampu menjadi lubuk rezeki kepada pengusaha. 

“Saya sendiri sebenarnya tidak pasti adakah mengubah suai premis lama ini satu keputusan bijak... ternyata arwah ayah tidak salah percaturan kerana hotel ini sekarang telah menjadi lubuk rezeki buat saya dan keluarga.

“Dari kawasan yang pada awalnya suram dan sunyi, lokasi ini akhirnya menjadi tumpuan… bagi saya, jika kita kreatif dan pandai manfaatkan barang lama, ia pasti akan berguna dan boleh memberikan keuntungan kelak,” tambahnya yang turut mempunyai perancangan membina kolam renang sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung hotel berkenaan.

 

RUMAH TERBIAR KE KAFE

Seorang lagi usahawan Mohd Shafiq Zolkipli, 39,  turut mengambil inisiatif sama dengan memanfaatkan rumah pusaka yang telah lama terbiar menjadi sebuah kafe yang  beroperasi sejak awal Februari lalu.

Kafe yang di kenali ‘do8camp’ terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan itu menggabungkan  warisan tradisional dengan gaya santai masa kini sebagai tarikan utama buat pengunjung.

pic-6

“Kafe do8camp pada asalnya sebuah rumah pusaka milik nenek  isteri saya. Rumah itu didiami oleh bapa mentua saya, namun selepas beliau meninggal dunia pada 2020, rumah tidak lagi dihuni dan terbiar, sekali gus mendorong saya mencari kaedah untuk menghidupkan semula rumah lama era 1950-an tersebut.

“Melihat pada kedudukannya yang strategik, iaitu terletak bersebelahan laluan utama Jalan Temiang-Pantai atau dikenali "Little New Zealand" (laluan yang terkenal dengan pemandangan yang indah dan mirip dengan kawasan pergunungan di New Zealand) serta menjadi laluan tetap konvoi motosikal serta aktiviti berbasikal, bagi saya rumah itu mampu menjadi lokasi yang berpotensi untuk perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Melalui inisiatif sendiri, Mohd Shafiq melakukan penambahbaikan terhadap struktur premis yang rosak, namun masih mengekalkan keaslian seni bina kayu rumah kampung tersebut.

Ruang halaman rumah itu diubah suai menjadi  ruang santai yang  lengkap dengan kerusi dan meja “camping” manakala ruang belakang pula disediakan khas untuk acara kecil atau sesi ‘lepak’ berkumpulan.

Katanya suasana tenang dan dikelilingi kehijauan, menjadikan kafe itu tempat sempurna untuk berehat sebentar sambil menikmati secawan kopi.

pic-7

“Kafe ini mengetengahkan konsep ala ‘camping’,  yang saya bangunkan menerusi modal daripada poket (simpanan) saya sendiri dan diusahakan bersama-sama isteri. Kafe ini boleh memuatkan kira-kira 60 orang pada satu-satu masa.

“Di sini kita beri tumpuan kepada penyediaan pelbagai jenis kopi serta beberapa makanan sampingan termasuk pasta,’’ katanya.

 

PILIHAN “PORT” LEPAK

Mengulas lanjut, beliau berkata meskipun terletak di kawasan kampung, sejak dibuka enam bulan lalu kafe itu tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelanggan.

“Sebelum ini, kami menyasarkan pelanggan dalam kalangan penunggang motosikal (yang berkonvoi) serta mereka yang berbasikal, namun tanpa disangka perniagaan kami ini turut disokong oleh penduduk setempat, sekali gus menjadikan kafe ini sebagai lokasi mereka berkumpul dan bersosial sambil minum kopi.  

pic-8

“Suasana lebih meriah pada hujung minggu dan musim cuti sekolah apabila anak-anak rantau  yang pulang ke kampung turut singgah sebentar untuk minum kopi di sini,” katanya sambil menambah kafe dibuka dari 5 petang hingga tengah malam setiap hari.

Mengambil contoh pengalamannya, Mohd Shafiq mengesyorkan pemilik rumah terbiar memanfaatkan hartanah mereka itu menerusi konsep “repurpose” yang bukan sahaja memastikan bangunan terpelihara tetapi turut menyumbang pendapatan.  

“Rumah yang dibiarkan begitu sahaja, tanpa dihuni atau dipelihara, akan cepat rosak, lebih-lebih lagi rumah kayu yang cenderung dimakan anai-anai jika ditinggalkan kosong untuk satu tempoh yang lama. Apabila rosak, pemilik atau waris terpaksa berbelanja besar untuk membaiki dan membaik pulih kerosakan.

“Jangan ingat rumah lama tidak ada nilainya. Jika tahu cara selain dijaga dan dipulihara, sesebuah rumah yang usang boleh memberi hasil kepada pemilik,” tambahnya.

  -- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan