KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd meyakini pusat data tidak akan terjejas susulan arahan terbaharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai cip kecerdasan buatan (AI).
Kementerian itu mengeluarkan satu arahan yang mewajibkan semua aktiviti eksport, penghantaran semula dan transit cip AI berprestasi tinggi yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan berada di Malaysia bagi mendapatkan Permit Perdagangan Strategik (STP).
Bank pelaburan tersebut dalam nota penyelidikan hari ini berkata import cip AI canggih buatan AS untuk kegunaan pelayan domestik tidak tertakluk di bawah skop peraturan baharu ini kecuali jika pengendali pusat data berhasrat untuk memindahkan cip tersebut ke luar Malaysia.
“Arahan ini tidak memberi sebarang impak, pada pandangan kami terhadap pusat data di Malaysia. Ini bukanlah satu kerenah birokrasi tambahan yang boleh melambatkan proses penubuhan pusat data di Malaysia,” katanya.
MIDF berkata sejak awal tahun ini, pihaknya secara konsisten menegaskan kebanyakan pusat data baharu bersedia untuk aplikasi AI walaupun ada yang mungkin akhirnya digunakan bagi tujuan bukan AI.
Bank pelaburan berkenaan berkata arahan tersebut khususnya bagi menangani pergerakan cip AI keluar dari Malaysia yang dilihat sebagai langkah berhemah oleh MITI bagi mencegah penyeludupan cip secara haram ke China melalui orang tengah.
“Ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengambil tanggungjawab terhadap pergerakan cip AI yang berasal dari AS keluar dari negara ini dengan mempertingkatkan penguatkuasaan,” katanya.
MIDF berkata rundingan di antara Malaysia dengan AS berkemungkinan tertumpu kepada penguatkuasaan kawal selia, pemantauan pengguna akhir serta kesungguhan dalam menangani pelanggaran terhadap langkah-langkah kawalan.
“Arahan terbaharu MITI merangkumi semua perkara ini. Diharapkan ia dapat menenangkan pihak AS semasa rundingan mengenai sekatan eksport cip AI di bawah Peraturan Penyebaran AI yang diubah suai oleh Trump,” katanya.
Menurut MIDF, spekulasi semakin meningkat mengenai kemungkinan peralihan daripada sistem tiga peringkat negara sedia ada kepada rejim pelesenan berdasarkan perjanjian antara kerajaan.
Ini bermakna syarikat yang beribu pejabat di AS atau sekutunya yang rapat mungkin tidak lagi dihadkan dengan had kuasa pengkomputeran AI sebanyak tujuh peratus yang dikenakan kepada negara-negara di luar Tahap 1 sekali gus membolehkan kapasiti AI yang lebih besar dirancang di negara-negara seperti Malaysia.
“Tanpa mengira perubahan dari Rangka Kerja Penyebaran AI yang dibatalkan oleh Biden kepada peraturan baharu yang sedang ditulis semula oleh pentadbiran Trump, MIDF percaya intipatinya kekal iaitu untuk membendung kemajuan AI China selain memastikan cip AI AS tidak digunakan bagi melatih model AI China,” kata MIDF.
-- BERNAMA